SHAH ALAM – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mengintip pergerakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar kerana beliau sentiasa ditemani anggota polis bagi tujuan keselamatan.
Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), Saifuddin menjelaskan bahawa sebagai pemimpin tertinggi negeri, Ahmad Samsuri sentiasa didampingi seorang pegawai polis sepanjang masa.
"Tiada keperluan untuk ‘spy’ beliau kerana polis memang sentiasa bersamanya.
"Saya sendiri pernah tersenarai untuk pengawasan dari tahun 2000 hingga 2004. Saya anggap itu sebahagian daripada tugasan pihak berkuasa,” katanya pada Jumaat.
Menurut Saifuddin, ketika berada di bawah pengawasan, beliau memberikan kerjasama penuh dan menghormati peranan pihak keselamatan. Katanya, selepas satu tempoh tertentu, namanya dikeluarkan daripada senarai tersebut.
Beliau turut menjelaskan bahawa semua orang kenamaan (VIP) di negara ini secara amnya berada di bawah pengawasan atas faktor keselamatan, namun hanya Ahmad Samsuri yang mempertikaikan perkara tersebut secara terbuka.
Sebagai rekod, Saifuddin merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, Kedah dari tahun 2000 hingga 2004 namun tidak memegang jawatan kerajaan ketika itu.
Sebelum ini, Ahmad Samsuri mendakwa dirinya dikenakan pemantauan melalui kaedah Targeted Communications Operation (TCO) oleh kerajaan, termasuk pintasan talian telefon dan pemantauan pergerakan peribadi.
"Adakah telefon saya dipintas? Sudah tentu. 100 peratus.
"Adakah saya diikuti ke mana-mana saya pergi, walaupun atas urusan peribadi? Sudah tentu. Tanpa keraguan,” katanya sebelum ini.
Beliau juga mendakwa pemantauan itu telah menjejaskan pergerakannya, termasuk ketika melalui sempadan domestik seperti ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun 2024.
Katanya, TCO merupakan bentuk pemantauan terhadap individu yang dianggap ‘berisiko’ oleh pihak tertentu, walaupun tiada sebarang kesalahan dibuktikan secara sah.