Kanak-kanak perempuan lebih berisiko alami masalah kesihatan mental

Iklan
Kelemahan dalam aspek emosi dan sosial menjadikan kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada tekanan, keresahan dan kemurungan. Gambar kecil: Dr Wan Mohd Rushidi

ALOR SETAR - Masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila nisbahnya menunjukkan seorang daripada enam kanak-kanak mengalami masalah tersebut.

Lebih mengejutkan, kadar berkenaan meningkat dua kali ganda sejak 2019 selain lebih ramai kanak-kanak perempuan mengalami masalah tersebut berbanding kanak-kanak lelaki.

Iklan
Iklan

Menurut Pakar Perunding Psikiatri dan Psikologi dari Kedah Medical Centre, Dr Wan Mohd Rushidi Wan Mahmud, pelbagai faktor menyumbang kepada situasi ini termasuk didikan ibu bapa serta pengaruh persekitaran seperti adik-beradik, rakan sebaya dan guru.

"Kanak-kanak sekarang mempunyai IQ tinggi, cemerlang dalam pembelajaran dan pemikiran umum. Namun, mereka lemah dari sudut EQ (kecerdasan emosi) dan SQ (kecerdasan sosial) berbanding generasi terdahulu,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurutnya, kelemahan dalam aspek emosi dan sosial menjadikan kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada tekanan, keresahan dan kemurungan, khususnya apabila gagal mengurus perasaan dengan baik.

"Pakar-pakar turut menyuarakan kebimbangan pengaruh teknologi dan media sosial semakin mendominasi kehidupan kanak-kanak masa kini. Kurangnya interaksi bersemuka serta komunikasi dalam keluarga juga antara punca kemerosotan kesejahteraan mental golongan muda ini,” ujarnya.

Iklan

Dr Wan Mohd Rushidi berharap semua pihak terutamanya ibu bapa, guru dan penggubal dasar lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak selain mengambil pendekatan proaktif membantu mereka membina keseimbangan emosi dan sosial yang sihat sejak awal usia.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang diterbitkan Institut Kesihatan Umum pada 2024, kanak-kanak di kawasan bandar mengalami beban masalah kesihatan mental lebih tinggi berbanding di luar bandar.

Kajian melibatkan 2,400 kanak-kanak berumur lima hingga 15 tahun itu mendedahkan 46 peratus daripada mereka mengalami masalah dengan rakan sebaya, 25 peratus masalah tingkah laku, 17 peratus menunjukkan tanda-tanda masalah emosi, selain lapan peratus menghadapi isu hiperaktif.

"Kesihatan mental kanak-kanak merangkumi emosi, tingkah laku, sosial dan persekitaran yang memberi impak besar kepada kebolehan mereka bermain, belajar dan membina hubungan dengan orang lain,” kata Dr Wan Mohd Rushidi.

Menurutnya, ibu bapa serta masyarakat perlu lebih peka terhadap tanda-tanda awal yang menunjukkan kanak-kanak berdepan tekanan emosi serius.

"Antaranya kecenderungan untuk menyendiri, keresahan melampau, kesedihan berpanjangan, gangguan tidur serta kemerosotan prestasi akademik yang ketara.

"Ramai ibu bapa tidak menyedari anak mereka mengalami tekanan dan keadaan semakin serius sehingga ada yang ingin mencederakan diri sendiri atau bercakap tentang kematian, ia tidak boleh dipandang ringan.

"Perubahan tingkah laku seperti tantrum, mudah marah atau enggan ke sekolah adalah antara petanda awal yang perlukan perhatian segera,” katanya.

Dr Wan Mohd Rushidi menyarankan agar ibu bapa memberikan sokongan emosi kepada anak-anak serta menggalakkan komunikasi terbuka di rumah, sementara guru memainkan peranan memantau perubahan tingkah laku di sekolah.

"Masalah sosial makin ketara disebabkan kurangnya interaksi bersemuka. Mereka lebih gemar menghabiskan masa dengan gajet dan permainan komputer, menyebabkan kurang berhubung secara langsung dengan rakan sebaya.

"Kebanyakan aktiviti sosial dijalankan secara maya. Kanak-kanak sepatutnya belajar berinteraksi secara bersemuka, namun lebih bertumpu kepada dunia digital, sekali gus mengurangkan peluang mereka mengasah kemahiran sosial dan emosi,” katanya.

Menurutnya lagi, kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak, terutama di bandar besar turut memainkan peranan dalam mengurangkan interaksi sosial kanak-kanak.

"Kanak-kanak juga kurang diberi pendedahan tentang cara menyelesaikan masalah secara praktikal. Tanpa bimbingan menghadapi situasi stres dan cabaran, ramai tidak tahu untuk menangani masalah secara berkesan.

"Ia turut beri kesan jangka panjang terhadap kemampuan mereka menguruskan tekanan dalam kehidupan dewasa.

"Faktor lain termasuk kurangnya interaksi antara kaum. Contohnya kanak-kanak Melayu lebih cenderung bermain sesama mereka, begitu juga kaum-kaum lain. Ini menyebabkan mereka kurang memahami kepelbagaian budaya dan tidak memiliki pengalaman bergaul dengan individu dari latar belakang berbeza,” jelasnya.

Dr Wan Mohd Rushidi berkata, tekanan daripada rakan sebaya dan pengaruh media sosial tanpa kawalan memburukkan lagi keadaan.

"Ibu bapa yang tidak pandai mengawal emosi dan sering bertengkar depan anak-anak menunjukkan model tidak baik. Kemahiran keibubapaan lemah beri impak negatif kepada anak-anak.

"Guru pula hanya cenderung mengajar berbanding mendidik kerana tertakluk pada garis panduan. Prestasi dinilai berdasarkan keputusan pelajaran, bukan kepada kematangan pelajar.

"Corak pendidikan kita lebih memberikan tumpuan kepada kecerdasan minda tanpa penekanan khusus kepada kecerdasan emosi dan sosial,” jelasnya.