DALAM kehangatan menyambut Aidilfitri, makanan menjadi tumpuan utama yang mengeratkan silaturahim antara keluarga dan tetamu.
Hidangan seperti lemang, rendang dan kuih raya menjadi santapan ‘wajib’ ketika lebaran. Namun begitu, di sebalik keenakan sajian menyelerakan itu, sebagai umat Islam yang beriman, kita hendaklah sentiasa berpegang kepada prinsip halalan toyyiban.
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT:"Wahai manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik (halalan toyyiban), dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya dia adalah musuh yang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah: 168)
Halal merujuk kepada sesuatu yang dibenarkan syariat Islam, manakala toyyib bermaksud bersih, selamat, berkhasiat dan bermanfaat. Saat meraikan Syawal, kebanyakan daripada kita hanya menitikberatkan soal halal semata-mata, tetapi tidak dalam elemen toyyib.
Tidak semua yang halal itu toyyib
Tidak semua yang halal itu toyyib bagi setiap individu. Contoh paling mudah ialah gula yang merupakan bahan halal utama dalam kebanyakan kuih-muih, kek dan minuman.
Namun bagi individu menghidap diabetes, pengambilan gula berlebihan boleh membawa mudarat. Pendekatan toyyib adalah dengan mengawal jumlah gula atau menggantikannya dengan alternatif lebih sihat.
Begitu juga makanan berminyak. Walaupun halal, pengambilan berlebihan boleh meningkatkan paras kolesterol, memberi risiko kepada penghidap penyakit jantung atau darah tinggi.
Individu dengan penyakit gout perlu berhati-hati dengan makanan tinggi purin seperti organ dalaman dan makanan laut. Walaupun halal dan berkhasiat, ia boleh meningkatkan kadar asid urik.
Bagi pesakit buah pinggang, mereka perlu mengawal pengambilan natrium, kalium dan fosforus meskipun ia dari sumber halal.
Ketika persiapan hari raya, kita perlu memastikan kebersihan dapur, memilih bahan berkualiti dan menyediakan makanan dengan penuh keikhlasan serta bertanggungjawab.
Tidak hairanlah apabila Syawal menjelma, semua sibuk mengemas rumah dan menyediakan pelbagai hidangan lazat demi memuliakan tetamu.
Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah pembaziran makanan. Kita wajar mencontohi Nabi Muhammad SAW yang mengutamakan kesederhanaan dan membenci pembaziran.
Sediakan makanan dalam jumlah mencukupi, simpan lebihan dengan baik dan berkongsi rezeki dengan yang memerlukan. Semua itu adalah sebahagian daripada amalan toyyib yang selari dengan ajaran Islam.
Masih belum terlambat untuk mengambil langkah proaktif menyambut hari raya secara lebih sihat. Kita boleh ubah selera dengan kaedah memasak lebih baik seperti memanggang berbanding menggoreng, kurangkan gula dan tambahkan lebih banyak sayuran.
Mengertilah, pemakanan bukan hanya soal rasa, tetapi juga soal kesihatan. Pengamalan konsep toyyib dalam gaya hidup bukan sekadar berkaitan makanan, tetapi juga keputusan harian yang selari dengan nilai Islam.
Apabila konsep toyyib dihayati, kita bukan sahaja menjaga kesihatan tubuh, malah memelihara kesejahteraan hati dan minda serta membentuk budaya kesihatan berasaskan keimanan yang berpanjangan.
Gaya hidup, pemakanan cerminan rasa syukur
Kita perlu berhati-hati bukan sahaja dengan apa yang dimakan, tetapi juga menjaga kesihatan melalui rehat cukup, aktiviti fizikal, kebersihan dan keseimbangan emosi.
Setiap keputusan memberi kesan kepada tubuh kita. Islam mengingatkan bahawa kita akan dipertanggungjawabkan terhadap pengurusan amanah tersebut.
Gaya hidup dan pemakanan perlu mencerminkan penghormatan dan penjagaan terhadap amanah yang diberikan kepada kita.
Membuat pilihan makanan dengan konsep toyyib bukan sekadar mengelak perkara memudaratkan, tetapi juga satu bentuk penghormatan terhadap nikmat kurniaan ALLAH SWT.
Menjaga tubuh badan dengan makanan yang baik, bersih dan berkhasiat adalah tanggungjawab spiritual yang mencerminkan rasa syukur serta menjadikan setiap pilihan makanan sebagai satu ibadah.
Sambutlah musim perayaan ini dengan memilih makanan yang halal lagi toyyib, memberi tenaga kepada tubuh, menyuburkan jiwa dan selari dengan nilai-nilai Islam yang kita pegang.