Rantai leher diragut, peniaga rugi RM11,000

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki bertindak meragut rantai leher mangsa dalam satu kejadian di hadapan sebuah kedai serbaneka di Setia Alam, Shah Alam, pada Khamis.

SHAH ALAM - Konon mahu memaklumkan telah melanggar kereta tetapi niat sebenar suspek adalah meragut rantai leher pemilik kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan dibuat oleh mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun, setelah rantai lehernya diragut di hadapan sebuah kedai serbaneka di Setia Alam, di sini pada Khamis.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kejadian berlaku selepas mangsa bersama isteri selesai membeli barang di premis perniagaan dan mereka ditegur oleh seorang lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha 135 LC berwarna merah.

Kata beliau, suspek menyatakan telah terlanggar bahagian hadapan kenderaan mangsa sehingga mengalami kerosakan.

Iklan

"Mangsa kemudiannya terus membuat pemeriksaan pada keretanya dan semasa pemeriksaan sedang dijalankan, tiba-tiba lelaki tersebut telah bertindak menarik rantai leher mangsa dari arah belakang dan terus melarikan diri.

"Mangsa yang merupakan seorang peniaga tidak mengalami sebarang kecederaan dan kerugian yang dialaminya akibat kejadian itu lebih kurang RM11,000," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurut beliau, pihak polis masih dalam usaha mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Sehungan itu menurutnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Naqiuddin Nawawi di talian 012-3848103 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-55202222.