KOTA KINABALU - Ganjaran sebanyak RM10,000 ditawarkan kepada mana-mana individu yang tampil memberikan maklumat sehingga membawa kepada penangkapan dan pendakwaan pihak yang bertanggungjawab dalam kes pembunuhan gajah Pygmy Borneo yang dilaporkan sejak Januari lalu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Seri Christina Liew, merayu kepada saksi agar tampil membantu siasatan berhubung kematian tiga ekor gajah yang dibunuh secara tragis.
"Kami membuat keputusan untuk menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000 dalam mesyuarat kementerian pada Rabu, susulan penemuan satu lagi bangkai gajah yang dipenggal kepalanya.
"Ini merupakan kes ketiga yang mengejutkan sejak Januari tahun ini. Kami mahukan bukti kukuh mengenai perbuatan kejam ini," katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau lagi, kerjasama orang awam amat diperlukan untuk membuat laporan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah atau pihak polis sekiranya terdapat individu atau pihak yang menyaksikan insiden tersebut.
"Ini agar memastikan pelaku dapat dibawa ke muka pengadilan," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiga kes penemuan gajah tanpa kepala yang dipercayai dibunuh oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Bangkai gajah pertama ditemui dalam keadaan tanpa kepala dan kaki pada Januari lalu di kawasan Maliau Basin, Kalabakan.
Sementara itu, dua lagi gajah ditemui baru-baru ini, juga dalam keadaan kepala dipenggal di dua lokasi berasingan di Kalabakan.