Kebakaran Putra Heights: Lokasi utama ditutup atas faktor keselamatan

Iklan
Keadaan kediaman penduduk yang musnah seperti bandar mati. Foto Bernama
SUBANG JAYA - Akses lokasi utama kebakaran saluran paip gas di Putra Heights ditutup sepenuhnya kepada media dan orang awam atas faktor keselamatan susulan kerja penstabilan tanah yang masih berlangsung di lokasi terbabit.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, larangan itu bukan sahaja bertujuan memelihara bahan bukti, tetapi juga bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.

"Kami tidak benarkan sebarang akses kepada orang awam mahupun petugas media ke lokasi ‘ground zero’.

"Kawasan ini telah diisytiharkan sebagai zon bencana dan mempunyai risiko melibatkan tahap keselamatan," katanya dalam sidang akhbar di pusat media Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Jalan Harmoni, Putra Heights di sini pada Khamis.

Katanya, pergerakan jentera berat serta operasi pasukan penyelamat juga memerlukan ruang yang tidak boleh diganggu oleh kehadiran pihak luar.

"Keutamaan ketika ini adalah sudut keselamatan, oleh itu, hanya pihak berkuasa dan petugas rasmi sahaja dibenarkan berada di kawasan terbabit bagi memastikan kelancaran siasatan dan kerja-kerja teknikal yang sedang dijalankan," katanya.

Sementara itu, Hussein berkata, setakat ini pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights yang masih beroperasi.

Jelas beliau, PPS berkenaan melibatkan 361 mangsa daripada 95 keluarga.