KUALA LUMPUR – Isu buli dalam kalangan pelajar di institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) terus mendapat perhatian serius apabila dua lagi kes baharu dilaporkan Institut Pengajian Mara (IPMa).
Pendedahan itu dibuat susulan kejadian membabitkan tujuh pelajar MRSM baru-baru ini yang telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat dan membuka lebih banyak ruang kepada pelajar lain untuk tampil melaporkan insiden sama.
Pengerusi Mara Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan susulan dua aduan terbaharu itu bagi membanteras gejala buli secara menyeluruh.
"Saya mengesahkan bahawa Ketua Pengarah Mara sudah terima dua hingga tiga kes berkenaan buli di MRSM atau IPMa yang mana ia telah berlaku lama sebelum ini.
Bagaimanapun, kes-kes ini masih dalam peringkat siasatan,” katanya ketika sidang media sempena akhbar Majlis Amazing Syawal Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di sini pada Khamis.
Asyraf menegaskan bahawa budaya membisu atau menormalisasikan insiden buli tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana ia memberi kesan jangka panjang terhadap pembentukan sahsiah pelajar serta ekosistem pendidikan Mara.
Beliau berkata, Mara telah menetapkan pelbagai inisiatif bersifat pencegahan termasuk kursus khas bersama kaunselor, pemantauan secara berkala, serta penglibatan langsung pengurusan tertinggi MARA dalam menangani isu tersebut.
"Dalam satu insiden terbaharu di MRSM, tindakan siasatan dan pengesyoran oleh jawatankuasa disiplin dilaksanakan dalam tempoh kurang 24 jam selepas laporan diterima."Langkah pantas ini membuktikan ketegasan Mara dalam menangani isu ini,” katanya.
Beliau turut menyeru kerjasama daripada semua pihak termasuk rakan sebaya dan penghuni asrama bagi menyalurkan maklumat berkaitan kejadian buli supaya tindakan segera dapat diambil.
"Kita tidak mahu kes seperti ini hanya diketahui apabila sudah tular setahun kemudian. Kita mahu tindakan segera, adil dan tegas,” ujarnya.