TAPAH - Pemuda Perikatan Nasional (PN) berharap semua pihak tidak menjadikan peribadi calon sebagai senjata kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning ini.
Ketua Pemuda PN Perak, Hafez Sabri berkata, kempen perlulah dilakukan dengan menumpukan agenda yang ingin dibawa untuk pembangunan rakyat di kawasan.
"Elakkanlah serangan peribadi. Pilih isu yang lebih lebih besar dan profesional.
"Politik kita kena saling hormat dan biarlah politik santun yang menawarkan khidmat kepada rakyat," katanya dalam sidang akhbar Pemuda PN Perak di SRITI Genius Aulad Bidor di sini pada Khamis.
Beliau berkata, sejak semalam tular hantaran di media sosial mempertikaikan kelulusan akademik calon PN, Abd Muhaimin Malek.
Katanya, perkongsian tersebut hingga menimbulkan dakwaan bahawa Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah itu tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Beliau ada SPM dan dengan SPM itu, beliau boleh masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia dan belajar ke tempat terkemuka di peringkat antarabangsa.
"Beliau menuntut ilmu di Institut Fatah Islami, Damsyik, Syria...institut yang sama dengan Ustaz Wadi Annuar (pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar Ayub) dan kemudiannya di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’azzam Shah di Kedah.
"Jadi saya cadang supaya pihak rakan-rakan di sebelah sana untuk mengelak daripada memainkan isu-isu sentimen sebegini," katanya.
Pada Selasa, PN mengumumkan Abd Muhaimin, 44, mewakili gabungan itu dalam PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
Turut mengumumkan perkara sama, calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, dan Bawani KS, 40, mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Sementara itu, Hafez berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan turun bagi membantu kempen PN.
"Presiden Pas akan turun. Tan Sri Muhyiddin Yassin akan turun. Pimpinan kanan yang lain semua sudah turun semasa malam pengumuman calon.
"Sekarang ini kami pun sudah bergerak di kawasan yang dijaga masing-masing," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 12 April dan 22 April manakala 26 April sebagai hari mengundi.