Dua lelaki mengaku tidak bersalah terlibat pemerdagangan manusia

Iklan
Desmond (hadapan) dan Jasper diiringi polis di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis.

JOHOR BAHRU - Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan memperdagangkan tiga individu bagi maksud eksploitasi kerja.

Tertuduh, Jasper Yap En Wai, 20, dan Desmond Ang Whei Cheng, 18, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Iklan
Iklan

Mengikut pendakwaan, mereka berdepan dua pertuduhan dengan niat bersama memperdagangkan dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun bagi maksud eksploitasi kerja dengan cara memperdayakan mangsa di sebuah restoran di Taman Maju Jaya, Johor Bahru, antara awal Disember 2024 hingga 14 Februari 2025.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Iklan

Dalam prosiding di mahkamah sama, Jasper turut berdepan satu lagi pertuduhan memperdagangkan seorang lelaki berumur 21 tahun bagi maksud eksploitasi kerja dengan cara memperdayakan mangsa di Shwekkoko, Myanmar, antara 7 hingga 14 Februari lalu.

Pendakwaan terhadap Jasper dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Iklan

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R Kodesviary, manakala Desmond diwakili peguam Mohammad Muzzamil Mohammad Hairiri, sementara Jasper tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM60,000 terhadap kedua-dua tertuduh, dengan tiga syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu saksi, perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Mohammad Muzzamil memohon agar jaminan dikurangkan kerana jumlah tersebut dianggap terlalu tinggi bagi kedua-dua tertuduh yang tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan terhadap Jasper sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan, manakala RM15,000 terhadap Desmond Ang, bagi setiap pertuduhan, selain ketiga-tiga syarat tambahan yang diberikan.

Mahkamah menetapkan 21 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes, serahan dokumen, dan lantikan peguam bagi Jasper.