[VIDEO] Bekas atlet paralimpik rasa terabai, pernah terfikir minta sedekah sara hidup

Iklan

SEREMBAN - Suatu ketika dahulu, namanya pernah disanjung sebagai antara atlet sukan renang paralimpik kebanggaan negara.

Namun, sejak bersara pada 2017, Zul Amirul Sidi Abdullah, 53, mendakwa dirinya seolah-olah dilupakan.

Iklan
Iklan

Dia kini meneruskan hidup dengan menjadi jurulatih persendirian dengan pendapatan kurang RM1,000 sebulan selain menerima elaun RM350 sebulan sebagai penggerak sukan renang atlet paralimpik di Negeri Sembilan yang dilantik oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurutnya, dengan keadaan fizikalnya yang mengalami kecacatan dari paras pinggang hingga kaki, agak sukar untuk dia mencari pekerjaan lain.

Iklan
Zul Amirul (kanan) menunjukkan antara pingat yang dimenanginya sepanjang bergelar atlet paralimpik sukan renang.

"Saya bukannya nak salahkan mana-mana pihak, tapi saya cuma terkilan, seolah-olah sumbangan kepada negara dan negeri dilupakan selepas saya bersara sebagai atlet.

"Mujurlah MSN bantu dengan melantik saya sebagai penggerak atlet renang paralimpik dengan dibayar elaun RM350 sebulan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi (PPR Paroi) di sini pada Rabu.

Iklan

Pada masa yang sama, ujarnya, dia juga menerima elaun pekerja cacat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 sebulan yang dapat membantu meringankan bebannya.

Kata Zul Amirul, dia amat mengharapkan bantuan ihsan daripada pihak kerajaan yang setidak-tidaknya sebagai penghargaan untuk jasanya sebagai atlet yang pernah mengharumkan nama negara.

Zulkifli (kiri) melihat keadaan tongkat Zul Amirul yang sudah rosak.

"Saya memang ada daftar dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, tapi mungkin soal saya ini terlepas pandang.

"Saya harap selepas ini mana-mana atlet orang kurang upaya (OKU) yang dah bersara, bantulah mereka sebab kami nak harap pekerjaan lain mungkin susah," katanya.

Tambahnya, sebagai seseorang yang mempunyai pengalaman 17 tahun dalam sukan renang, dia memilih untuk berbakti sebagai jurulatih, namun pendapatan yang diterima tidak seberapa.

Malah katanya, ada ketika waktu kesempitan wang, dia terfikir untuk meminta sedekah di jalanan, namun dilupakan kerana mengenang air muka isteri dan anak-anak.

"Saya tidak mahu memalukan isteri dan anak-anak, sebab itu saya tetap berusaha mencari rezeki untuk keluarga.

"Sebab itu kalau boleh saya berharap sangat supaya pihak tertentu dapat menggunakan bakat saya untuk melatih atlet baharu yang setidak-tidaknya dapat membantu saya menambah pendapatan," katanya.

Zul Amirul (kanan) menunjukkan kepada Zulkifli antara pencapaiannya dalam sukan renang suatu ketika dahulu.

Jelasnya, dia juga telah membuktikan mampu melahirkan pelapis apabila dua anaknya iaitu Muhammad Amirul Rasul, 17, dan Anas Zul Amirul Sidi, 15, turut mencipta nama dalam sukan berkenaan.

Kata Zul Amirul, antara pencapaian terbaiknya ialah apabila dia merangkul tiga pingat emas dua tahun berturut-turut di Osaka, Jepun (2006-2007), satu emas dan tiga perak di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2011.

Selain itu katanya, dia bersyukur kerana dapat tinggal menyewa di rumah PPR Paroi dengan sewa RM150 sebulan, namun disebabkan tertunggak, kini telah dinaikkan kepada RM250 bagi melunaskan tunggakan.

"Isteri saya pula tak bekerja kerana membantu saya bergerak dan kami mempunyai dua anak yang masih bersekolah, berusia 15 dan 17 tahun," katanya.

Terdahulu, Zul Amirul menerima kunjungan daripada Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed yang membantu membeli tongkat baharu untuknya.