60,000 pekerja PKS dijangka berisiko hilang pekerjaan - MEF

Iklan
Laporan muka depan akhbar Sinar Harian berkaitan kesan tarif Trump. (Gambar kecil: Syed Hussain)

SHAH ALAM - Seramai 60,000 pekerja syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melibatkan industri eksport atau pasaran Amerika Syarikat (AS) dijangka berisiko kehilangan pekerjaan susulan pelaksanaan tarif balas yang diumumkan Presiden Donald Trump.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, anggaran itu berdasarkan jumlah PKS yang kini mencecah 1.2 juta, merangkumi 98 peratus daripada keseluruhan syarikat berdaftar di negara ini.

Iklan
Iklan

Ujar beliau, daripada jumlah tersebut, sekitar 20 peratus atau 240,000 syarikat terlibat dalam aktiviti eksport.

"Lima peratus daripada angka berkenaan, bersamaan 12,000 syarikat bergantung kepada pasaran eksport ke AS.

Iklan

"Sekiranya 20 peratus daripada mereka kehilangan pekerjaan susulan penurunan permintaan, jumlah pekerja terjejas dianggarkan mencecah 60,000 orang,” katanya kepada Sinar Harian.

Laporan Sinar Harian berkaitan kesan pelaksanaan tarif Trump.

Iklan

Bagaimanapun menurut Syed Hussain, kesan sebenar terhadap pasaran buruh masih bergantung kepada beberapa faktor termasuk dasar kerajaan, insentif eksport dan usaha mencari pasaran alternatif seperti ASEAN, China, BRICS serta negara anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Katanya, kesan berkenaan juga boleh dikurangkan sekiranya kerajaan memperkenalkan insentif pemulihan.

"Jika tarif timbal balik 24 peratus AS dilaksanakan, permintaan untuk produk berkaitan dijangka menurun menyebabkan pengurangan pengeluaran dan potensi kehilangan pekerjaan,” ujarnya.

Ulas beliau, pihaknya berharap agar negara ASEAN kekal bersatu dan mengambil pendekatan menangani isu berkenaan tanpa bertindak secara terburu-buru.

"Setakat ini, tiada negara ASEAN yang mengambil langkah pembalasan sebaliknya menjurus kepada penglibatan dalam perbincangan bagi rundingan pengurangan tarif.

"MEF yang dijangka mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN Confederation of Employers (ACE) menjelang Mei 2025 juga sentiasa meneruskan kerjasama erat bagi memastikan ASEAN sebagai sebuah perkumpulan untuk terus memudahkan perdagangan dan kembali kepada prinsip terasnya,” menurutnya.