Negara Islam dan ASEAN perlu cari jalan sendiri

Iklan
ABIM menyeru negara-negara Islam terutamanya dari OIC dan GCC supaya melihat potensi besar untuk bekerjasama lebih erat dengan ASEAN.

TINDAKAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan tarif baharu yang dianggap sungguh tidak masuk akal ke atas beberapa buah negara mencetuskan kebimbangan seluruh komuniti ekonomi global.

Seperti yang pernah dilakukan semasa penggal pertamanya, Trump kembali dengan pendekatan 'America First' dan Malaysia tidak terkecuali dengan ancaman ekonomi itu.

Iklan
Iklan

Pengumuman 'gila' oleh Trump berpotensi mencetuskan semula perang perdagangan yang pernah melumpuhkan sebahagian besar rantaian bekalan global sekitar tahun 2018 hingga 2020.

Walaupun langkah itu kononnya bertujuan untuk melindungi industri domestik AS, namun kesannya jauh lebih besar.

Iklan

Negara membangun seperti Malaysia turut merasai tekanan apabila kuasa besar dunia mula bersaing secara agresif dalam perdagangan dan teknologi. Keadaan ini menjadikan pasaran global semakin tidak stabil dan sukar diramal.

Dalam dunia yang semakin rencam, tiada ruang untuk bergantung sepenuhnya kepada satu kuasa ekonomi sahaja.

Iklan

Malaysia pula berada dalam posisi unik iaitu walaupun bukan kuasa besar, kita mempunyai hubungan baik dengan pelbagai blok ekonomi.

Kehadiran China, Jepun dan Korea Selatan dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur baru-baru ini membuktikan peranan kita sebagai pemudah cara yang dipercayai.

Berikutan menyedari akan bahang kepincangan ekonomi dunia itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru negara-negara Islam terutamanya dari Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) supaya melihat potensi besar untuk bekerjasama lebih erat dengan ASEAN.

Negara Teluk mempunyai kekuatan sumber tenaga dan kewangan, manakala ASEAN kaya dengan tenaga kerja dan pasaran pengguna yang luas.

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada Mei nanti juga wajar dimanfaatkan untuk membentuk satu pakatan ekonomi baharu iaitu bebas daripada dominasi unilateral, lebih seimbang dan saling menghormati kedaulatan negara anggota.

Dunia Islam tidak boleh terus berada di pinggiran. Kita perlu tampil sebagai peneraju dalam membina sistem ekonomi global yang lebih adil, inklusif dan mampan untuk semua.