SHAH ALAM - Ibu bapa dan komuniti perlu diperkasa dengan kesedaran digital yang tinggi, termasuk pengetahuan tentang cara menyekat akses kepada kandungan tidak sesuai dalam peranti anak-anak mereka.
Ini susulan pendedahan oleh Polis Kelantan mengenai peningkatan kes sumbang mahram, termasuk kes melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang menghamilkan sepupunya yang berusia 15 tahun.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, golongan kanak-kanak memerlukan perhatian psikologi dan perlindungan daripada kandungan-kandungan lucah yang tersebar luas dalam talian.
Kerana itu menurutnya, larangan kanak-kanak bawah 13 tahun menggunakan telefon pintar wajar disokong.
"Luluh hati apabila membaca dan rasa sangat terkilan dengan berita ini. Ini mencerminkan keruntuhan nilai dalam masyarakat kita.
"Kita perlu tanya diri kita, di mana silapnya? Apa yang anak-anak kita tonton, pelajari dan teladani?
"Sebab tu saya setuju untuk kanak-kanak bawah 13 tahun tak dibenarkan menggunakan telefon pintar," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Young Syefura menegaskan, ibu bapa memainkan peranan penting kerana semua perkara bermula dari rumah.
Katanya, mereka juga bertanggungjawab untuk memantau dan mengambil tahu tentang pergaulan anak-anak.
"Undang-undang saja tidak mencukupi. Perlu ada pendedahan dan penerapan serta pendidikan seksual awal terhadap kanak-kanak, tidak kira di sekolah mahupun di rumah," katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, selain kes sumbang mahram, kes rogol juga menunjukkan trend peningkatan ketara setiap tahun dengan kebanyakan kes melibatkan hubungan suka sama suka.