Tebang 200 pokok musang king, kerajaan Pahang tak langgar perintah mahkamah

Iklan
Pokok durian yang ditebang dalam satu operasi dijalankan oleh penguatkuasa kerajaan negeri di Sungai Ruan, Raub pada Selasa. Foto Pahang Media

KUANTAN - Tindakan menebang kira-kira 200 pokok durian musang king dalam operasi penguatkuasaan di Raub pada Selasa, tidak melanggar sebarang perintah mahkamah.

Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin berkata, dakwaan Save Musang King Alliance (SAMKA) yang mendakwa kerajaan Pahang bertindak bertentangan dengan keputusan mahkamah adalah tidak berasas.

Iklan
Iklan

"Permohonan mereka sebelum ini telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

"Oleh itu, tanah tersebut secara sah adalah milik kerajaan negeri dan terpulang sepenuhnya kepada kerajaan untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, pihak yang menduduki tanah itu secara haram tidak boleh menuntut sebarang hak ke atasnya.

Tegasnya, kerajaan Pahang berhak mengambil langkah sewajarnya untuk menangani pencerobohan itu.

Iklan

"Kita tidak mempunyai halangan, jika pihak terbabit mahu membawa perkara ini ke mahkamah. Kita sentiasa bersedia,” jelasnya.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan dakwaan sekumpulan pekebun durian yang mendakwa kerajaan melanggar perintah mahkamah apabila bertindak menebang pokok musang king di kebun mereka.

Penasihat SAMKA, Chow Yu Hui dalam kenyataannya memaklumkan bahawa anggota Unit Penguatkuasa Negeri bersama kakitangan Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah dan polis memasuki kebun durian di Sungai Klau, Raub sekitar jam 11 pagi semalam untuk melaksanakan operasi penebangan.