TANAH MERAH - Hasrat empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar untuk pulang ke negara asal tidak kesampaian apabila mereka dicekup di Sungai Golok di sini pada Selasa.
Mereka yang berusia 25 hingga 73 tahun itu ditahan semasa cuba menyeberangi sungai terbabit kira-kira jam 10.30 malam untuk ke Thailand sebelum disedari oleh Briged Kelapan Infantri Malaysia.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, hasil siasatan mendapati tiga PATI lelaki dan seorang wanita telah menetap di negara ini secara tidak sah selama lima hingga sembilan tahun.
"Kesemua PATI tersebut menyatakan mereka turut menggunakan khidmat tekong warganegara Thailand untuk membawa kembali semula ke Myanmar dengan sejumlah bayaran tertentu.
"Hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan turut ditemukan barangan peribadi bernilai RM16,072.94," katanya.
Ujar kenyataan tersebut kesemua PATI telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya.