SHAH ALAM - Sebanyak 270 rumah yang terjejas dalam insiden letupan dan kebakaran di Putra Heights, Subang Jaya disahkan selamat dari segi struktur dan boleh diduduki semula selepas kerja pembaikan dilaksanakan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemeriksaan keselamatan telah dilakukan dan penduduk dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing secara berperingkat.
"Kita harap proses pemulihan berjalan lancar bagi membolehkan lebih ramai penduduk pulang ke rumah,” katanya pada sidang media di Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Shah Alam.
Dalam pada itu, katanya, kerja-kerja pembersihan besar-besaran di kawasan terjejas akan bermula pada Rabu hingga hujung minggu melibatkan lebih 1,000 sukarelawan yang diketuai pasukan Pasukan Selangor Volunteer (SERVE) dan Team Selangor.
"Kita turut gerakkan pasukan sukarelawan bagi membantu membersihkan kediaman mangsa.
"Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri menyokong pemulihan selepas tragedi," ujar beliau.
Kebakaran Putra Heights: PPS Dewan Camelia ditutup malam ini
SHAH ALAM - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Camelia ditutup malam ini akibat insiden letupan paip gas dan kebakaran di Putra Heights, Subang Jaya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pada masa ini seramai 16 keluarga membabitkan 60 individu ditempatkan di PPS terbabit.
"Penghuni akan pulang ke rumah masing-masing dan sekiranya keadaan rumah mereka rosak teruk akan ditawarkan penginapan sebagai langkah segera membantu mereka untuk kembali kepada kehidupan normal," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar di Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Shah Alam di sini pada Rabu.
Beliau memberitahu, usaha memberikan penginapan itu hasil inisiatif daripada kerajaan negeri Selangor bersama Airbnb
Kata beliau, proses pemindahan turut dibantu oleh Pejabat Daerah Petaling dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ujarnya, PPS Masjid Putra Heights pula dijangka ditutup pada hujung minggu ini dengan proses pendaftaran ‘homestay’ Airbnb akan bermula malam ini.
"Keluarga ini akan turut diberikan bantuan makanan asas seperti beras, tepung dan minyak masak secara percuma selama sebulan," ujar beliau.
220 syarikat terjejas, kerajaan negeri bertindak segera
SHAH ALAM - Kebakaran paip gas Putra Heights, Subang Jaya, pada 1 April lalu memberi kesan serius, bukan sahaja kepada penduduk setempat, tetapi juga kepada operasi lebih daripada 220 syarikat di seluruh Selangor.
Industri yang terjejas termasuk sektor pembuatan, pengeluaran tenaga, dan pelbagai sektor lain yang bergantung kepada bekalan gas asli untuk proses operasi perniagaan mereka.
Menurut Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han, gangguan bekalan itu memberi impak langsung kepada syarikat terbabit, yang sebahagian besarnya adalah pengeluar dan pengilang bergantung kepada gas sebagai tenaga utama dalam proses pembuatan mereka.
"Kejadian letupan paip gas di Putra Heights telah menyebabkan gangguan besar kepada bekalan gas asli.
"Kejadian ini telah memberi kesan yang serius terhadap operasi industri di seluruh negeri, melibatkan lebih daripada 220 syarikat yang mengalami gangguan operasi," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Rabu.
Kebanyakan syarikat terlibat dalam gangguan bekalan gas turut melaporkan penurunan besar dalam kapasiti pengeluaran dan terpaksa menangguhkan operasi, menyebabkan kerugian ekonomi yang ketara.
"Kerajaan negeri Selangor sehubungan itu, tidak berdiam diri dalam menangani isu kritikal ini," tambahnya.
Jelasnya, sebagai langkah segera, Invest Selangor Berhad, sebuah agensi yang berperanan dalam pembangunan ekonomi dan pelaburan negeri, telah mengaturkan satu sesi pertemuan penting yang melibatkan beberapa pihak utama di sini pada Rabu.
"Pada petang ini, pertemuan tersebut telah diadakan dengan kehadiran Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), badan yang mewakili pelbagai industri di negara ini.
"Sesi tersebut turut disertai oleh pihak pembekal utiliti, iaitu Petronas dan Gas Malaysia, serta agensi berkaitan yang berfungsi dalam penyelarasan bekalan tenaga di negeri Selangor," ujarnya.
Menurutnya, pertemuan ini bertujuan untuk mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi gangguan bekalan gas yang telah memberi kesan besar kepada banyak sektor industri di Selangor.
Sze Han turut menekankan bahawa kerajaan negeri komited untuk memastikan bahawa sebarang isu yang menjejaskan operasi perniagaan di Selangor dapat diselesaikan dengan segera dan efektif.