PUTRAJAYA - Kerajaan terbuka untuk menerima cadangan daripada mana-mana pihak termasuklah mengenai had kuasa Perdana Menteri dalam membuat lantikan bagi jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia selaras dengan usaha kerajaan yang membawa agenda reformasi institusi.
"Kerajaan terbuka menerima pandangan pelbagai pihak untuk menambah baik, sama ada dari segi perundangan atau proses," katanya dalam sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa isu lanjutan tempoh perkhidmatan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet tersebut.
Pada 4 April lalu, laporan Bloomberg yang memetik sumber menyatakan bahawa Azam akan menerima lanjutan perkhidmatan selama enam bulan.
Namun, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dua kali melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam sejak menjadi Perdana Menteri pada November 2022 berkata, belum ada keputusan dibuat untuk lanjutan kali ketiga.
Sebelum ini, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, tamatnya tempoh perkhidmatan Azam memberi peluang kepada kerajaan untuk mendemokrasikan proses pelantikan untuk jawatan itu.
Kata C4, walaupun proses meminda undang-undang berhubung perkara itu akan mengambil masa, kerajaan boleh mengambil langkah awal dalam mendemokrasikan proses pelantikan, misalnya menerusi langkah panggilan terbuka untuk calon dan menimbang pandangan daripada pembangkang dan pertubuhan masyarakat sivil.