SUBANG JAYA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor menempatkan 15 kaunselor sejak hari pertama operasi pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights, Subang Jaya di sini.
JKM Selangor memaklumkan, kumpulan kaunselor ini bertugas memberikan sokongan emosi dan kaunseling kepada mangsa-mangsa terjejas, membantu mereka mengatasi trauma dan tekanan akibat bencana.
"Kaunseling ini dijalankan secara individu dan berkumpulan, dengan beberapa kes memerlukan sokongan berterusan lebih daripada dua sesi, namun tiada kes yang dikategorikan sebagai terlalu serius," ujarnya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia turut menggerakkan pasukan Inisiatif Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) bagi memberikan bantuan psikologi melalui sesi 'Psychological First Aid' (PFA) kepada mangsa.
Pasukan ini terdiri daripada pakar psikiatri, psikologi, dan kesihatan awam yang menyediakan sokongan dalam menguruskan tekanan emosi akibat bencana. NGO seperti Mercy Malaysia juga turut terlibat dalam menyediakan sokongan psikososial kepada mangsa dan petugas barisan hadapan.
Yayasan Kebajikan Negara (YKN) juga membuka Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang menyediakan perkhidmatan kaunseling bergerak melalui booth dan trak untuk memberi sokongan kepada mereka yang terjejas, termasuk mangsa keganasan rumah tangga.
Pusat ini menawarkan kaunseling dan bimbingan untuk membantu individu mengatasi stres dan kebimbangan selepas bencana kebakaran paip gas Putra Heights berlaku 1 April lalu.
Kerjasama antara agensi kerajaan dan NGO menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan kesejahteraan mental mangsa terjaga sepanjang tempoh pemindahan.
Diharapkan dengan sokongan ini, mangsa-mangsa terbabit dapat pulih dan kembali menjalani kehidupan mereka seperti biasa.
Sehingga Rabu petang, seramai 333 mangsa masih ditempatkan di PPS Masjid Putra Heights dan dijangka bertambah susulan PPS Dewan Camelia ditutup pada Rabu atau Khamis.