SHAH ALAM - Isu rasuah dalam kalangan masyarakat Malaysia terus menjadi kebimbangan apabila negara kekal di kedudukan ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 dengan skor 50 mata, sama seperti tahun sebelumnya.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Rasuah Busters Selangor, Zairudin Hashim berkata, kedudukan dan skor yang tidak berubah itu menggambarkan amalan memberi dan menerima rasuah masih berleluasa dalam sektor awam serta dalam kalangan masyarakat umum.
Menurutnya, rasuah tidak boleh lagi dianggap sebagai isu kecil atau perkara biasa.
"Apa juga statistik yang kita terima, namun perkara lebih penting ialah kesungguhan pihak berkuasa untuk terus konsisten dalam membanteras rasuah.
"Sekiranya kita memperlahankan usaha ini, kegiatan itu akan terus bermaharajalela,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ketua cawangan sebuah jabatan kerajaan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan projek baik pulih fasiliti di Gua Musang bernilai kira-kira RM100,000.
Menurut sumber, lelaki berumur 43 tahun itu ditahan di pejabatnya oleh sepasukan pegawai SPRM.
Zairudin turut menegaskan bahawa rasuah dalam kalangan penjawat awam perlu ditangani secara menyeluruh melalui strategi pencegahan dan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh.
"Rakyat kini giat memerhati dan menghakimi kualiti perkhidmatan kerajaan.
"Justeru, perkhidmatan yang bersih tanpa rasuah mampu memberikan persepsi positif terhadap pentadbiran serta membantu meningkatkan kedudukan CPI negara,” jelasnya.
Antara cadangan utama dikemukakan termasuk memperkasakan tadbir urus yang berintegriti, membendung salah guna kuasa serta menambah baik inisiatif strategik melibatkan semua peringkat pentadbiran.
Mengulas mengenai punca berlakunya rasuah pula, beliau berkata, ia berpunca daripada kelemahan integriti individu itu sendiri.
"Ada yang tamak dan ingin kaya dalam masa singkat. Tidak kurang juga menjalani gaya hidup melebihi kemampuan.
"Lebih membimbangkan apabila rasuah dianggap sebagai budaya normal yang diamalkan oleh ramai pihak.
"Oleh itu, saya sarankan agar seluruh lapisan masyarakat berganding bahu dalam memerangi rasuah demi membina masa depan negara yang lebih bersih, telus dan berintegriti,"ujarnya.