SUBANG JAYA -"Saya akan mencari rumah sewa lain di sekitar Kampung Kuala Sungai Baru sahaja, untuk mudahkan anak saya pergi ke sekolah."
Itu luah seorang mangsa selepas kediaman disewanya sejak 12 tahun lalu musnah keseluruhan dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini.
Menurut Harib Abu Bakar, 54, tiga anaknya berusia lapan hingga 14 tahun termasuk seorang perempuan setakat ini masih belum bersekolah atas beberapa kekangan.
"Kami sekeluarga kini masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Camelia).
"Keadaan rumah dikategorikan sebagai 'total lost' dan zon merah. Tidak dibenarkan masuk.
"Saya bercadang nak cari rumah sewa lain. Kalau boleh kawasan kampung bersebelahan sahaja, sebab mudah nak uruskan anak ke sekolah. Lebih mudah dan tak perlu tukar sekolah," ketanya ketika ditemui di PPS Dewan Camelia di sini pada Rabu.
Kakitangan sebuah syarikat automotif itu juga memaklumkan dia diberi cuti bencana selama 14 hari oleh majikan.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan, dua PPS di Dewan Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia telah menempatkan 101 keluarga membabitkan 393 mangsa.
"Daripada jumlah itu, 14 keluarga terdiri daripada 60 mangsa di PPS Dewan Camelia, manakala PPS Dewan Masjid Putra Heights menempatkan 87 keluarga daripada 333 mangsa," katanya.
Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights di hari kesembilan selepas insiden letupan terbabit mendapati beberapa kenderaan yang terjejas di kediaman penduduk telah mula dibawa keluar menaiki trak penunda.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming turut dilihat hadir meninjau lokasi bencana.
Dalam insiden 1 April lalu, kebakaran melibatkan saluran utama Petronas dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya dan menyebabkan kawah berkedalaman 9.8 meter, dengan keluasan kira-kira 21 x 24 meter terbentuk di lokasi kejadian.