KUALA LUMPUR - Seorang lelaki direman dua hari bagi membantu siasatan berkaitan kes ugutan jenayah dan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan ke atas penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi media sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, lelaki berusia 57 tahun itu direman dua hari bermula Selasa.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 505(b) kanun kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan ketakutan atau kegentaran awam.
"Lelaki itu turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Pada Selasa media melaporkan, Lelaki itu ditahan kira-kira jam 12.10 tengah malam Selasa.
Rusdi dilaporkan berkata, penahanan itu adalah susulan laporan daripada pegawai penguat kuasa DBKL itu pada jam 1.07 tengah hari, Isnin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati satu tangkap layar perbualan dalam sebuah kumpulan WhatsApp telah tersebar di Facebook dan mengandungi unsur ancaman serta hasutan terhadap anggota penguat kuasa DBKL yang menjalankan tugas sebagai penjawat awam.
Paparan tangkap layar itu mengandungi kenyataan yang berunsur ugutan dan niat jahat terhadap pegawai penguat kuasa yang sedang melaksanakan tugas penguatkuasaan undang-undang.