Kerajaan Persekutuan salur bantuan bencana RM14.7 juta kepada Selangor

Iklan
Keadaan kediaman penduduk dan kenderaan yang musnah seperti bandar mati di lokasi kejadian kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah menyalurkan peruntukan bantuan bencana kepada Kerajaan Selangor berjumlah RM14.7 juta bagi tahun ini.

Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, peruntukan itu bagi pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat bencana dan BWI Kematian sebanyak RM10,000 kepada waris mangsa bencana yang kehilangan nyawa.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, bantuan berkenaan turut disediakan bagi membantu KIR mangsa bencana yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya minggu lepas.

"Pejabat Daerah dan Tanah Petaling selaku Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan mengagihkan bantuan berdasarkan senarai nama KIR mangsa bencana yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Selain itu, Khairul Shahril berkata, setiap rumah yang terkesan akibat bencana ini turut menerima bantuan tunai berjumlah RM10,000 yang disalurkan kepada pemilik rumah yang musnah sepenuhnya, iaitu RM5,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM5,000 daripada Petronas.

"Pemilik yang rumahnya separa musnah menerima sumbangan sebanyak RM5,000, iaitu RM2,500 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM2,500 daripada Petronas,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, Kerajaan Selangor turut bersetuju memberikan bantuan sewaan sebanyak RM2,000 sebulan selama enam bulan kepada setiap keluarga yang terkesan untuk menyewa rumah sementara kediaman mereka diperbaiki ataupun dibina semula.

"Peruntukan ini mencerminkan tanda keprihatinan Kerajaan MADANI kepada mangsa-mangsa bencana di Putra Heights. Bagi melicinkan proses pengagihan bantuan, semua sumbangan hendaklah disalurkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor,” katanya.

Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada jam 8.10 pagi Selasa minggu lepas mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya. - Bernama