[VIDEO] Empat sekawan mengaku tidak bersalah lakukan pemerasan, menyamar polis

Iklan

GEORGE TOWN - Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap seorang lelaki, bulan lalu.

Tertuduh, P Veeran, 36; S Rohan Raj, 22; L Yuvarajan, 21; dan S Siva, 22, didakwa secara bersama melakukan kesalahan itu terhadap S Prabakaran, 55, di Blok 2C-10-10, Desa Air Mas, Jalan Helang, Gelugor pada jam 12.30 tengah malam, 21 Mac lalu.

Iklan
Iklan

Mereka didakwa mengugut mangsa dengan risiko ditangkap polis sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan wang tunai berjumlah RM18,000.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil, menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta memohon mahkamah mengeluarkan perintah larangan berhubung saksi dan mangsa.

Peguam R Puran yang mewakili semua tertuduh merayu jaminan minimum atas alasan anak guamnya mempunyai komitmen kewangan.

Iklan
Selain pertuduhan melakukan pemerasan, dua daripada mereka turut didakwa menyamar sebagai anggota polis.

"Tertuduh pertama iaitu Veeran tidak bekerja, sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak. Sementara tertuduh kedua (Rohan Raj) bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan bulanan RM1,500. Dia perlu menanggung ibu bapa dan isteri.

"Tertuduh ketiga (Yuvarajan) merupakan seorang pelajar manakala tertuduh keempat (Siva) juga seorang pengawal keselamatan dengan gaji RM2,000 sebulan namun belum berkahwin," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 28 April ini untuk serahan dokumen.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 3, Rohan Raj turut didakwa atas dua pertuduhan, iaitu memiliki pistol tiruan dan menyamar sebagai anggota polis.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan yang dilakukan pada waktu, tarikh dan lokasi sama.

Bagi kes memiliki pistol tiruan, dia didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan menyamar sebagai polis pula dikemukakan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Veeran turut berdepan pertuduhan sama kerana menyamar sebagai anggota polis.

Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini, mencadangkan jaminan RM6,000 bagi setiap pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi membenarkan jaminan keseluruhan RM12,000 terhadap Rohan manakala Veeran dikenakan jaminan RM6,000.

Kes disebut semula pada 22 Mei ini untuk penyerahan dokumen.