"KALAU ada sistem yang betul dan barisan pembangunan yang mantap, bukan setakat Arif Aiman Hanapi, Lionel Messi pun Malaysia boleh lahirkan,” demikian tegas Pemerhati Sukan tempatan, Sadek Mustafa ketika mengulas isu pembangunan akar umbi bola sepak negara.
Menurut Sadek, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai badan induk utama sukan tersebut disarankan untuk menilai secara serius kelemahan dalam sistem pembangunan bola sepak.
Beliau berkata, banyak perkara yang perlu dinilai kembali melihatkan begitu banyak kelompongan yang timbul sekali gus memerlukan masa untuk program pembangunan berada pada tahap yang lebih baik.
"Memang kita ada cita-cita besar, nak lahirkan lebih ramai bakat seperti Arif Aiman. Tetapi, apa perancangan untuk mengatasi kelemahan yang kita ada?
"FAM perlu berjumpa dengan setiap persatuan bola sepak negeri, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) untuk melihat apa yang boleh dilakukan setelah sekian lama sistem pembangunan kita kurang berkesan,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, Naib Presiden FAM, Datuk Dollah Salleh percaya lebih ramai Arif Aiman boleh dilahirkan sekiranya Akademi Mokhtar Dahari (AMD) diletakkan di bawah badan induk itu.
AMD telah ditubuhkan pada 2014 menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) bertujuan menyediakan latihan berprestasi tinggi dan pendedahan bakat dalam kalangan pelatih.
Namun, program itu dinilai masih belum berjaya sebaiknya terutama untuk melahirkan para pemain berkualiti untuk beraksi di peringkat tertinggi.
Sadek turut menyuarakan kebimbangannya terhadap tahap kemahiran pemain-pemain muda negara yang dilihat masih belum setanding dengan silibus bola sepak antarabangsa.
Malah, beliau turut menyifatkan peranan jurulatih di negara ini tidak cukup bagus untuk memberikan pendedahan sewajarnya buat pemain muda negara.
"Maaf cakap, guru-guru bola sepak kita pun kurang pengalaman di peringkat tinggi. Lesen atau sijil semata-mata tak cukup kalau tiada pengalaman.
"Untuk hasilkan anak murid yang cemerlang, guru pun mesti cemerlang dari segi pengalaman dan pendedahan antarabangsa,” katanya.