GEORGE TOWN - Seorang wanita ditemui terdampar dalam keadaan masih bernyawa di tepi laut berhampiran Persiaran Karpal Singh, di sini pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, wanita berketurunan Thailand yang berstatus pemastautin tetap itu ditemui oleh orang awam di kawasan berkenaan.
"Polis menerima panggilan pada jam 1.48 petang tadi berhubung penemuan wanita berkenaan. Setelah bergegas ke lokasi kejadian, kita mendapati mangsa masih bernafas.
"Kita kemudiannya menghubungi ambulans untuk bantuan dan membawa mangsa ke hospital untuk rawatan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Swee Sake, mangsa kini dirawat di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Pulau Pinang (HPP).
"Mangsa sudah sedar dan berada dalam keadaan stabil namun masih belum boleh bercakap.
"Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian atau pada badan mangsa," katanya.
Jelasnya, mangsa merupakan wanita berusia 46 tahun dan berkahwin dengan seorang lelaki warga tempatan.