SUBANG JAYA - Sebanyak 55 motosikal Yamaha Ego Avantiz disumbangkan oleh syarikat pembekal dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (Spanco) kepada mangsa yang terjejas dalam kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, mereka turut menerima plat kenderaan khas Madani, insurans pada tahun pertama serta dua helmet.
Menurutnya, syarikat itu menaja pembelian motosikal berkenaan dengan memperuntukkan jumlah keseluruhan hampir RM300,000.
"Saya berbesar hati Spanco bersetuju untuk menaja kos pembelian motosikal ini yang mana setiap satu unit dibeli pada harga khas iaitu RM5,000 walaupun harga jualan di pasaran mencecah hampir RM5,800.
"Saya telah berhubung dengan Yamaha dan mereka bersetuju untuk mengurangkan harga jualan dan kita dapat beli pada harga khas ini.
"Sudah tentu ia amat membantu mangsa yang terjejas kerana motosikal ini bukan sahaja sebagai pengangkutan tetapi juga untuk tujuan mencari nafkah dan dapat membantu mengembalikan kehidupan mereka seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis penyerahan motosikal kepada mangsa insiden tersebut di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Heights di sini pada Selasa.
Hadir sama, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, semua penerima kenderaan terbabit telah disaring dan disahkan benar sebagai mangsa insiden sebelum penyerahan motosikal itu dilakukan.
"Kebanyakan mangsa dari Kampung Kuala Sungai Baru kerana di Taman Harmoni kebanyakan kereta yang rosak. Kita tidak dapat cari motosikal untuk disewakan seperti kereta, jadi kita dapatkan penaja dan terus beli kemudian beri sumbangan kepada mangsa secara ‘one off’.
"Pemberian ini termasuk pendaftaran dan insurans untuk tahun pertama. Kita tiada pemilihan tetapi selagi mereka dapat buktikan kerosakan motosikal dan ada laporan polis, kita beri dan menjadi milik penuh mereka.
"Kita juga mendapat kerjasama daripada ketua kampung untuk melakukan pengesahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, salah seorang penerima motosikal, Engku Hamidi Engku Aziz, 45, menzahirkan kegembiraan apabila berpeluang mendapat sumbangan tersebut.
"Kerisauan pertama sudah tentu mengenai rumah kerana memikirkan boleh duduk lagi atau tidak dan keduanya tentang kenderaan yang mana saya hanya ada dua sahaja tetapi satu ada di kampung.
"Alhamdulillah, selepas ini saya dapat menggunakan motosikal ini untuk pergi ke kawasan sekitar dan sangat memudahkan urusan saya untuk ke tempat kerja juga,” katanya.