Penjaga bimbang, dakwa kolej kediaman IPTA uzur

Iklan
Bahagian luar kolej kediaman IPTA tersebut yang didakwa sudah uzur.

DUNGUN - [DIKEMAS KINI] Beberapa penjaga meluahkan rasa kesal apabila melihat keadaan kolej kediaman didiami anak mereka di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini kelihatan uzur dan tidak selamat untuk didiami.

Individu yang menggunakan nama Mira Yaya berkongsi keadaan itu menerusi hantaran dimuat naik di laman sosialnya, baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Dia menyatakan kekesalan terhadap fasiliti asrama yang didakwa tidak diselenggara dengan baik seolah-olah seperti ‘bangunan tinggal’.

"Sem (semester) 1 hostel usang juga tapi taklah seteruk ini. Masuk semester 2, masya-ALLAH, terkejut betul tengok macam tak diselenggara langsung," tulisnya.

Iklan

Hantaran itu turut disertakan beberapa gambar menunjukkan keadaan bangunan hostel berkenaan yang kelihatan uzur serta kawasan sekitarnya yang tidak terurus.

Selain itu, wanita berkenaan turut berkongsi situasi cemas yang dialami anaknya apabila skru kipas yang digunakan tercabut dan terjatuh.

Iklan

"Bahaya kalau kipas jatuh atas kepala anak-anak ini," tulisnya lagi.

Lebih membimbangkan, wanita itu turut mendakwa terdapat haiwan seperti monyet berkeliaran di kawasan sekitar hostel yang boleh mengancam keselamatan pelajar.

Bagaimanapun, katanya, tujuan perkara itu dikongsikan bukan berniat untuk memburukkan mana-mana pihak, sebaliknya berharap agar pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera.

"Saya bukan orang Terengganu dan saya tak tahu nak adukan kepada siapa hal ini. Saya berharap pihak berkaitan campur tangan dan buat penambahbaikan demi keselamatan pelajar," ujarnya.

Selain Mira Yaya, seorang lagi pengguna media sosial menggunakan nama mankumpaw turut berkongsi perkara yang sama, dengan meluahkan rasa bimbang terhadap keadaan tandas yang kotor serta persekitaran yang tidak bersih.