Projek PIL 2A: Pampasan dibayar, penduduk diarah keluar 15 April ini

Iklan
Kon Yeow

GEORGE TOWN- Pengambilan tanah bagi pelaksanaan Projek Pan Island Link 2A (PIL 2A) Fasa 1 di Permatang Damar Laut telah dijalankan mengikut peruntukan undang-undang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, proses itu termasuk pemberian pampasan berdasarkan nilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Iklan
Iklan

Menurutnya, majoriti pihak berkepentingan menerima pampasan melebihi RM1.5 juta bagi setiap lot tanah, manakala tiga individu tanpa geran pula menerima bayaran ex-gratia masing-masing sebanyak RM43,500.

"Secara keseluruhan, Pentadbir Tanah Daerah telah menyalurkan jumlah pampasan dan ex-gratia berjumlah RM24.3 juta sejak Disember 2024.

Iklan

"Projek infrastruktur tersebut penting demi manfaat jangka panjang rakyat dan proses pengambilan tanah telah dijalankan secara telus serta adil," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Oleh demikian, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri menggesa semua pihak berkepentingan supaya akur kepada proses undang-undang di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960 serta mengosongkan premis atau tapak masing-masing selewat-lewatnya pada 15 April ini.

Iklan

"Tarikh 15 April ini merupakan pelanjutan kali kedua selepas tempoh pelanjutan pertama berakhir pada 28 Februari lalu.

"Sebelum ini, seramai 13 pihak berkepentingan membantah nilai pampasan yang diberikan, namun pentadbir tanah telah menerima 30 Borang N daripada pelbagai pihak melibatkan 11 lot tanah. Kini dalam proses menyiapkan Borang O bagi rujukan ke mahkamah dalam tempoh enam bulan," jelasnya.

Tambahnya, sebarang rayuan perlu dibuat mengikut lunas undang-undang pengambilan tanah dan keputusan mahkamah adalah muktamad.

"Kerajaan negeri akan terus membantu pihak-pihak terlibat bagi mengelakkan perselisihan dan memastikan kepentingan semua pihak dijaga," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, satu pertemuan dan sesi soal jawab turut diadakan antara Kon Yeow bersama penduduk pada 14 Januari lalu sebagai usaha menjernihkan keadaan dan memberi ruang rundingan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tiga buah keluarga yang tinggal di atas tanah Plot 97 di Permatang Damar Laut bimbang dengan nasib mereka selepas diarahkan mengosongkan kediaman mereka bermula 15 Februari lalu.

Lebih membimbangkan, rumah yang diduduki sejak nenek moyang itu didapati tidak mempunyai geran pajakan yang membolehkan mereka layak untuk menerima pampasan.

Kawasan rumah mereka merupakan salah satu daripada 13 lot tanah melibatkan lebih 30 buah rumah yang akan diambil kerajaan untuk pembinaan Lebuhraya PIL 2A.