KUANTAN- Pemuda Pas Pahang menggesa kerajaan Malaysia mengambil tindakan lebih tegas dan berani dalam menangani krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza.
Ketuanya, Mohd Zarimi Abu Zih berkata, Malaysia sebagai sebuah negara yang memperjuangkan prinsip keadilan sejagat dan sentiasa menyokong rakyat Palestin perlu menunjukkan komitmen konkrit melalui tindakan yang lebih jelas.
Menurutnya, Pemuda Pas Pahang turut mendesak agar kerajaan segera menghantar pasukan bantuan, termasuk unit perubatan dan misi kemanusiaan ke Gaza, melalui kerjasama strategik dengan negara jiran seperti Mesir atau Turkiye.
"Kerajaan perlu membuka jalan diplomatik untuk membentuk pasukan pengaman bersama negara-negara Islam bagi melindungi rakyat Palestin daripada serangan berterusan rejim Zionis.
"Selain itu, Malaysia perlu menyokong sepenuhnya sebarang inisiatif ketenteraan daripada blok negara Islam yang ingin campur tangan untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Zarimi menekankan bahawa Malaysia perlu memainkan peranan bukan sahaja sebagai suara lantang di pentas antarabangsa, tetapi juga sebagai pencetus tindakan untuk mempertahankan maruah umat Islam dan hak asasi manusia sejagat.
"Kekejaman rejim Zionis Israel kini telah meragut puluhan ribu nyawa, termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.
"Kami memandang serius perkembangan semasa di Gaza, yang menyaksikan penduduk Palestin terus menjadi mangsa kekejaman tanpa sebarang perlindungan sewajarnya," tambahnya.