SUNGAI PETANI - Enam unit rumah kedai usang yang terletak berhadapan Masjid Putih Sungai Lalang, di sini hangus dalam kebakaran pada jam 9.40 malam, Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba II Siti Norafiza Mohd Noh berkata, panggilan kecemasan MERS 999 diterima pada jam 9.51 malam memaklumkan kejadian.
Iklan
Iklan
Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi Negeri Kedah telah mengarahkan jentera dari BBP Sungai Petani dan BBP Amanjaya ke lokasi untuk memadam kebakaran selain dibantu pasukan bomba sukarela.
"Setibanya di lokasi kejadian iaitu di hadapan Masjid Makmur atau lebih dikenali sebagai Masjid Putih Sungai Lalang, mendapati kebakaran membabitkan enam unit rumah kedai dua tingkat kelas B, telah terbakar.
"Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat berikutan keadaan premis yang sudah usang serta tidak lagi berpenghuni," katanya.
Jelasnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.15 malam sebelum kerja-kerja pemulihan dijalankan.
Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.