GEORGE TOWN- Kejadian bongkah batu seberat 50 kilogram (kg) yang terjatuh lalu terkena seorang penunggang motosikal dalam kejadian Jumaat lalu dipercayai berpunca daripada pergerakan batu itu yang menggelongsor dari cerun berhampiran jalan berkenaan.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, hasil siasatan mendapati bongkah batu tersebut bergolek akibat lilitan akar pokok yang reput dan lemah serta faktor tanah yang lembik susulan hujan.
"Siasatan yang dijalankan mendapati, berlaku pergerakan bongkah batu besar bersaiz 0.45 x 0.36 meter tersebut lalu menggelongsor dari cerun di lokasi kejadian.
"Ia kemudian berlanggar dengan bongkah lain di longkang bahu jalan sebelum jatuh sepenuhnya ke permukaan jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, berdasarkan kesan batu pecah dan kedudukan mangsa, siasatan awal mendapati mangsa disyaki berlanggar dengan batu yang telah jatuh terlebih dahulu, bukannya dihempap seperti yang dilaporkan sebelum ini.
"Sejurus menerima laporan awal mengenai kejadian itu, saya segera mengarahkan pihak Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang (JKRPP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk menjalankan siasatan terperinci di lokasi kejadian, khususnya pada bahagian cerun.
"Pihak JKRPP melalui Pusat Ukur Struktur Binaan (PUSB) dan MBPP melalui Jabatan Kejuruteraan (Geoteknikal) telah turun ke lokasi untuk melaksanakan kajian teknikal bagi mengenal pasti punca pergerakan batu serta melakukan kajian kestabilan cerun,” jelasnya.
Menurut beliau, sebagai langkah keselamatan segera, papan tanda amaran batu jatuh akan dipasang sepanjang laluan terbabit, manakala langkah mitigasi jangka panjang sedang diperhalusi di peringkat jabatan.
"Jabatan Kerja Raya telah diminta untuk melaksanakan pemasangan TMP (Traffic Management Plan) seperti papan tanda, 'robe light', 'barrier' serta kanvas supaya sekiranya ada batu terjatuh, tidak akan ke jalan raya.
"Saya berharap para pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati dan berwaspada ketika melalui jalan ini, lebih-lebih lagi ketika musim hujan yang boleh menjejaskan kestabilan cerun," katanya.
Ujar beliau, insiden tersebut menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan struktur cerun di kawasan berbukit yang berisiko runtuh terutama ketika cuaca tidak menentu.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang buruh binaan warga Bangladesh maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas akibat terkena bongkah batu di Jalan Paya Terubong di sini pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 1.10 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun maut di lokasi kejadian kerana parah di bahagian muka dan kepala.
Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR datang dari arah Bayan Lepas ke Farlim.
Hasil siasatan awal polis mendapati, kemalangan berlaku selepas bongkah batu bersaiz 0.5 meter terjatuh dari lereng bukit sebelah kiri.
Bongkah batu itu kemudiannya dipercayai terkena kepala mangsa.
Akibat impak tersebut, mangsa kemudian terjatuh di atas jalan raya manakala motosikalnya mengalami kerosakan pada bahagian hadapan dan tepi sebelah kiri.