SHAH ALAM -"Setiap detik sangat mencemaskan. Jika berlaku letupan, boleh mencapai sekitar 10 hingga 15 kilometer (km) radius”.
Demikian kata Noriskandar Nordin, yang berkongsi pengalaman sebagai seorang bekas pekerja industri minyak dan gas lebih 18 tahun.
Menurut Noriskandar yang juga bekas pemeriksa kawalan kualiti, kerja penanaman paip gas menuntut kepentingan disiplin ketat, standard dan integriti dalam bekerja.
"Saya antara orang yang berada dalam lubang korekan dengan kedalaman sedalam dua meter, memeriksa fizikal paip dan memastikan semua sambungan kimpalan diuji melalui kaedah ‘non-destructive testing’ (NDT).
"Saya juga bertanggungjawab memastikan paip itu ditanam pada kedalaman yang ditetapkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ujar Noriskandar, kerja paling menakutkan ialah prosedur ‘hot tapping’ iaitu melibatkan kerja penyambungan paip baharu kepada paip yang hidup dan mempunyai gas.
Menurutnya, semasa proses kimpalan dibuat, dia perlu memeriksa suhu menggunakan laser untuk setiap milimeter.
"Suhu tidak boleh melebihi nilai ditetapkan. Jika sampai suhu maksimum, saya perlu arahkan pengimpal untuk berhenti sehingga suhu kembali menurun ke paras selamat.
"Jika saya lalai, sudah tentu tidak sempat sebut pisang. Baru sebut pi kami semua dah boleh berpindah ke alam lain,” menurutnya.
Mengulas insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lalu, Noriskandar berkata, kejadian berkenaan mengingatkan kembali betapa berisiko kerjaya lamanya.
"Saya tahu betapa ketatnya standard dan SOP yang perlu dipatuhi. Setiap inci kimpalan ada rekod,” ulasnya.
Sementara itu, Noriskandar dalam satu hantaran lain turut menawarkan rumah untuk tumpangan sementara di Cyberjaya bagi mangsa yang terjejas akibat insiden kebakaran tersebut.
"Saya ada sebuah rumah untuk tinggal sementara selama dua bulan sementara menunggu rumah dibaik pulih atau tuntutan ganti rugi.
"Boleh hubungi saya di Facebook kepada yang betul-betul memerlukan. Sangat terkesan bila melihat musim raya terpaksa tinggal di pusat penempatan sementara (PPS),” menurutnya.