Pendekatan senegara diperlukan tangani cabaran ekonomi global

Iklan
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Kesemua sektor perniagaan dan rakyat Malaysia perlu bekerjasama dengan pendekatan senegara bagi menjamin kesejahteraan sosioekonomi negara.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, meskipun landskap ekonomi dunia sedang berhadapan dengan situasi sukar susulan pengumuman tarif Amerika Syarikat (AS), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengingatkan mengenai daya tahan ekonomi Malaysia yang kuat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Perdana Menteri menegaskan ia berupaya menampung gelombang ini untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

"Justeru, Kerajaan Madani akan melipatgandakan komitmen memelihara dan memastikan akses pasaran tidak terjejas selain terus menarik pelaburan asing, meneruskan agenda reformasi ekonomi/ industri bagi menyokong rantaian bekalan serta kesejahteraan pekerja serta perniagaan di Malaysia," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, pada Isnin.

Berhubung impak geoekonomi susulan pengumuman tarif AS, Tunku Nashrul berkata, Anwar sekali lagi mengingatkan mengenai langkah proaktif yang telah, sedang dan bakal diambil berasaskan kepada pendekatan keseluruhan negara.

Iklan

Beliau berkata, langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh kerajaan termasuk pengaktifan semula Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri serta penubuhan pasukan petugas oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk mendapatkan maklum balas langsung daripada industri.

Selain itu adalah mesyuarat khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku, Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, rundingan strategik peringkat tertinggi secara langsung dengan AS serta usaha memperluas dan mempelbagaikan pasaran eksport Malaysia ke rantau serta blok ekonomi baharu dan meningkatkan penggunaan perjanjian perdagangan bebas sedia ada dan baharu.

"Langkah ini akan memperkukuh daya tahan negara, menstabilkan pasaran dan melindungi pekerjaan serta pelaburan rakyat," katanya. - Bernama