McDonald's lancar Program Santun Pelajar, sasar satu juta hidangan

Iklan
Azmir bergambar bersama wakil-wakil IPT dan pelajar pada pelancaran Program Santun Pelajar yang diadakan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – McDonald’s Malaysia melancarkan Program Santun Pelajar bagi membantu mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) yang berdepan tekanan kos sara hidup.

Sebahagian daripada komitmen itu adalah sasaran untuk menyediakan sejuta hidangan sepanjang tahun 2026.

Iklan
Iklan

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya, Datuk Azmir Jaafar berkata, inisiatif itu diperkenalkan susulan peningkatan kos makanan, pengangkutan dan penginapan yang memberi tekanan besar kepada pelajar, sekali gus menjejaskan fokus pembelajaran.

Menurut beliau, laporan Nutrition Society of Malaysia bertajuk Financial problems associated with food insecurity among public university students in Peninsular Malaysia pada 2020, mendapati lebih 60 peratus pelajar di beberapa universiti awam Semenanjung Malaysia berdepan ketakjaminan makanan.

Iklan

“Data tersebut menjadi pendorong kepada kami untuk melancarkan Program Santun Pelajar.

Azmir (tengah)bergambar bersama wakil-wakil IPT dan barisan pengurusan McDonald’s Malaysia pada pelancaran Program Santun Pelajar yang diadakan baru-baru ini

Iklan

“Melangkaui data dan angka semata mata, kisah-kisah yang dikongsikan oleh pelajar dan golongan pendidik memberikan gambaran konsisten bahawa ramai anak muda di Malaysia sedang berusaha meneruskan pengajian sambil bergelut mendapatkan makanan berkhasiat setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Santun Pelajar yang berlangsung di McDonald’s Pandu Lalu Titiwangsa, baru-baru ini.

Dalam pada itu Azmir memaklumkan, sebanyak 50,000 hidangan Nasi Mekdi akan diagihkan kepada pelajar daripada 20 IPT di 11 negeri bermula 19 Februari hingga 10 Mac depan bersempena Ramadan.

Azmir ( tiga dari kanan) bersama wakil pelajar IPT menunjukkan menu Nasi Mekdi pada pelancaran Program Santun Pelajar yang diadakan baru-baru ini

Menurut beliau, baucar hidangan itu boleh ditebus di 20 restoran McDonald’s berhampiran IPT terlibat merangkumi set nasi putih, kuah kari kentang, Ayam Tenders McD pedas, telur serta minuman teh ais limau.

“Kami memilih sajian Nasi Mekdi kerana nasi merupakan makanan ruji rakyat Malaysia selain menjadi kesinambungan kepada tradisi menu lokal kami seperti Nasi Lemak McD.

“Hidangan berasaskan nasi juga mudah diterima ramai, berkhasiat dan mudah disediakan dalam skala besar di seluruh rangkaian restoran McDonald’s,” ujarnya.

Sasar satu juta hidangan sepanjang 2026

Sementara itu, Azmir berkata, pihaknya menyasarkan penyediaan sehingga satu juta hidangan sama menjelang akhir tahun 2026.

Inisiatif yang dibangunkan bersama rakan IPT itu bagi memastikan bantuan disalurkan terus kepada pelajar yang benar benar memerlukan melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar masing-masing.

Program membantu pelajar ini melibatkan beberapa IPT antaranya Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Islam Selangor (UIS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Kos bagi hidangan Nasi Mekdi adalah RM5 dan kami membelanjakan sejumlah RM5 juta bagi tujuan tersebut.

“Insya-ALLAH kami mampu menyediakan hidangan tersebut kerana rantaian bekalan yang bagus, disokong dengan kecekapan restoran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan Program Santun Pelajar adalah perluasan komitmen berterusan syarikat dalam pembangunan belia menerusi Akademi Vokasional McDonald’s di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Menurutnya, lebih 5,000 graduan berjaya dilahirkan menerusi akademi berkenaan sejak 2018 dengan 1,150 graduan menerima kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) pada tahun lalu.

“Visi kami bukan sekadar memberi makanan, tetapi membimbing pelajar daripada aspek nutrisi, latihan industri, pembangunan kemahiran hingga peluang kerjaya.

“Pelajar hari ini ialah tenaga kerja dan pemimpin masa depan negara. Ini bukan sahaja tanggungjawab moral, tetapi pelaburan masa depan Malaysia,” katanya.