KUALA LUMPUR - Malaysia merekodkan penggunaan produk nikotin alternatif tertinggi berbanding Filipina, Vietnam, Singapura dan Indonesia berdasarkan hasil kajian serantau berkaitan perubahan dalam corak penggunaan nikotin di Asia Tenggara.
Hasil tinjauan ke atas lebih 18,000 responden itu, terdapat sejumlah 12.2 peratus pengguna rokok alternatif di Malaysia, diikuti Filipina (9.5 peratus), Vietnam (6.6 peratus), Singapura (5.4 peratus) dan Indonesia (3.0 peratus).
Ketua Pegawai Operasi Milieu Insight, Gerald Ang berkata, hasil kajian juga mendapati, penggunaan produk nikotin alternatif di Malaysia, Filipina dan Singapura semakin menghampiri atau melebihi separuh daripada kadar perokok biasa.
Menurutnya, penduduk yang lebih muda iaitu di bawah usia 35 tahun turut merekodkan kadar lebih tinggi dalam penggunaan produk nikotin alternatif.
"Kajian itu menyorot dapatan bahawa majoriti pengguna rokok elektronik di rantau ini mula menggunakan produk berkenaan dalam tempoh dua tahun lalu.
"Walaupun keadaan ini mencerminkan trend yang agak baharu, kajian sama menunjukkan bahawa produk nikotin alternatif sudah pun menjadi segmen yang mantap di rantau ini, dengan peratusan penggunaan produk nikotin alternatif di Malaysia (12.2 peratus), Filipina (9.5 peratus) dan Singapura (5.4 peratus) yang menghampiri atau melebihi separuh daripada jumlah tabiat merokok yang lazim di negara-negara tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Taklimat Media berkenaan Kajian Penggunaan, Tingkah Laku & Sikap terhadap Rokok dan Produk Nikotin Alternatif Asia Tenggara, di sini pada Isnin.
Kajian dijalankan Milieu Insight, sebuah firma penyelidikan pengguna terkemuka Asia Tenggara yang berpangkalan di Singapura, dari 8 hingga 30 September 2024 secara dalam talian.
Ia melibatkan responden yang terdiri daripada mereka yang cukup umur di sisi undang-undang.
Gerald menjelaskan, kajian tersebut juga merekodkan kadar penggunaan rokok elektronik atau heated tobacco products (HTP) jauh lebih tinggi dalam kalangan perokok.
"Trend ini dapat dilihat di seluruh negara di mana sebahagian besar perokok merupakan pengguna berganda, iaitu mereka yang merokok dan pada masa yang sama menggunakan rokok elektronik atau HTP," katanya.
Tambah beliau, kajian tersebut turut mendedahkan bahawa kepelbagaian perisa, dengan perisa buah dan mentol menjadi pilihan utama pengguna dalam produk alternatif nikotin.
Bahkan, 100 peratus responden dari kelima-lima negara bersetuju bahawa harga rokok elektronik dan HTP yang lebih murah menjadi pendorong penting menyebabkan mereka memilih menggunakan produk nikotin alternatif.
"Kemudahan akses memainkan peranan dalam trend ini kerana pengguna mempunyai pelbagai pilihan saluran pembelian, termasuk platform e-dagang seperti Shopee, Lazada, TikTok Shop dan aplikasi pemesejan seperti Telegram yang dikenal pasti dalam kajian sebagai antara saluran utama untuk membeli produk nikotin alternatif," katanya.
Selain itu ujarnya, segmen produk nikotin alternatif dijangka berkembang kerana sebahagian besar perokok di rantau ini menunjukkan kecenderungan untuk mula menggunakan produk nikotin alternatif dalam tempoh enam bulan akan datang.
"Perokok yang pada masa ini tidak menggunakan rokok elektronik atau HTP lebih berkemungkinan untuk mula menggunakan produk sedemikian dalam tempoh enam bulan akan datang, terutamanya di Filipina, Vietnam dan Malaysia.
"Kemungkinan yang ketara juga dilihat di Singapura, walaupun produk sedemikian diharamkan di negara tersebut," katanya.
Sementara itu katanya, kajian tersebut juga meneliti masalah perdagangan produk nikotin haram di Singapura dan Vietnam dengan mengambil kira segmen produk nikotin alternatif yang sedia mengukuh di kedua-dua negara walaupun produk tersebut diharamkan sepenuhnya.
Ujar beliau, penggunaan rokok oleh dwipengguna di Singapura dan Vietnam masing-masing adalah sebanyak 48 dan 32 peratus lebih rendah daripada perokok biasa yang tidak menggunakan produk nikotin alternatif.
"Hal ini menunjukkan trend peralihan daripada rokok dengan duti berbayar kepada produk terlarang yang tidak dikenakan cukai dan tidak dikawal selia," katanya.
Sehubungan itu, Pengarah Eksekutif Majlis Perniagaan EU-ASEAN, Chris Humphrey berkata, kewujudan pasaran rokok haram pada kadar 55 peratus di Malaysia wajar menjadi teladan.
Ia apabila kerajaan mengenakan kenaikan cukai yang berlebihan secara tiba-tiba, memberikan kejutan harga kepada pengguna dan mendorong mereka kepada alternatif yang lebih murah dalam pasaran gelap.
"Dasar eksais dengan kenaikan cukai yang sederhana dan boleh dijangka berupaya membantu mengurangkan perdagangan haram, di samping mencapai objektif kesihatan awam dan matlamat fiskal kerajaan," katanya.
Tambah beliau, dengan 12.2 peratus daripada penduduk dewasa di Malaysia menggunakan produk nikotin alternatif telah menyaksikan kerajaan mula melaksanakan kawal selia ke atas rokok elektronik secara berperingkat-peringkat.
"Penguatkuasaan yang tegas terhadap peraturan ini akan menjadi penting dalam usaha untuk membendung rokok elektronik yang tidak mematuhi undang-undang daripada memburukkan lagi masalah perdagangan haram di Malaysia," katanya.