KUALA LUMPUR – Sebanyak 109 pemaju perumahan di seluruh negara telah disenarai hitam oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kerana gagal mematuhi syarat lesen dan menjalankan projek secara tidak sah.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, tindakan tegas itu diambil menerusi Jabatan Perumahan Negara (JPN) sebagai langkah melindungi hak pengguna, khususnya pembeli rumah yang menggunakan simpanan seumur hidup untuk memiliki kediaman.
"Ini merupakan usaha serius kementerian dalam membela dan melindungi hak pengguna,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan 14th Annual Affordable Housing Projects Conference, di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Kor Ming menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan pemaju yang mengambil kesempatan terhadap rakyat.
"Tindakan tegas ini adalah mesej jelas bahawa Kerajaan Madani komited memastikan pasaran hartanah kekal telus, selamat dan adil kepada semua,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pemaju yang disenarai hitam tidak dibenarkan memohon lesen baharu selagi mereka tidak menghantar semula dokumen yang diwajibkan serta gagal mematuhi peraturan sedia ada.
"Kesalahan utama yang dilakukan oleh pemaju tersebut termasuk kegagalan menghantar laporan perkembangan projek, tidak menyerahkan laporan pemeriksaan teknikal, serta tidak mengemukakan penyata keuntungan dan penyata kewangan projek masing-masing.
"Akibat kegagalan ini, mereka tidak akan dibenarkan memohon lesen baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, pengarah syarikat yang terlibat juga akan turut disenarai hitam.
"Kita tidak mahu pengarah-pengarah ini melarikan diri daripada tanggungjawab dengan menukar nama syarikat atau menggunakan entiti lain sebagai helah. Sebab itu kita senarai hitam pengarah sekali,” tegasnya.
Menurut Kor Ming, JPN telah mengeluarkan 471 notis sepanjang tahun 2024 dengan jumlah denda RM9.03 juta. Bagi dua bulan pertama tahun 2025, 56 kompaun telah dikenakan dengan jumlah denda sebanyak RM1.25 juta.
"Setakat ini, 80 peratus daripada jumlah kompaun yang dikenakan telah dibayar. Ini membuktikan bahawa kita serius dalam penguatkuasaan,” katanya.
Kor Ming turut menasihati orang ramai supaya menyemak latar belakang pemaju sebelum membuat keputusan membeli rumah.
"Saya ingin menyeru pembeli rumah supaya semak dahulu status pemaju di laman rasmi Teduh.
"Jangan buat komitmen kewangan dengan pemaju yang telah disenarai hitam. Kalau anda beli, itu adalah atas risiko sendiri,” ujarnya.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus bertindak tegas bagi memastikan sektor perumahan negara berkembang secara sihat dan berintegriti.
"Kerajaan Madani tidak akan membenarkan mana-mana pihak mempermainkan hak pembeli rumah. Kita akan terus bertindak tegas demi kesejahteraan rakyat,” katanya.