GUA MUSANG - [DIKEMAS KINI] Penduduk di Bandar Utama Gua Musang di sini digemparkan dengan kemunculan seekor beruang matahari yang dipercayai sesat pada Ahad.
Kelibat haiwan liar terbabit muncul di kawasan semak berhampiran lot kedai.
Seorang penduduk, Mei May, 29, berkata, ini merupakan kali pertama beruang yang dikatakan bersaiz lelaki dewasa itu dijumpai di kawasan terbabit.
"Perasaan takut itu ada, memandangkan saiznya yang cukup besar.
"Kemunculan beruang itu dapat dilihat bermula tengah hari sehingga lewat petang," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani mengesahkan menerima laporan berkaitan kemunculan haiwan liar terbabit.
Ujarnya, langkah segera telah diambil dengan memasang dua buah perangkap bagi menangkap beruang tersebut.
"Nasihat saya pada penduduk setempat, supaya tidak bertindak sesuka hati dan mengganggu beruang tersebut bagi mengelakkan ia bertindak agresif," katanya.