KOTA KINABALU – Pengusaha kenderaan berat merayu agar Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih proaktif dalam menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan pokok di sepanjang laluan dari Kota Kinabalu ke kawasan pantai timur Sabah.
Salah seorang pengusaha treler, Masrul Guding, 35, berkata, dahan pokok yang tidak dipotong telah menyebabkan kerugian apabila kenderaan baharu yang dibawa melalui jalan darat mengalami kerosakan akibat tercalar.
"Aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa tempatan, namun sehingga kini masih banyak pokok yang tidak diselenggara. Ini menyebabkan kereta yang kami bawa dari Kota Kinabalu ke pantai timur tercalar terkena dahan.
"Kerosakan ini menjejaskan kualiti kenderaan kerana ia melibatkan permukaan bumbung dan badan kereta," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, keadaan itu memaksa pengusaha menanggung kerugian bagi kerja pembaikan, kerana insurans tidak menanggung sepenuhnya kerosakan seumpama itu.
"Ada juga kes di mana kereta dikira musnah sepenuhnya disebabkan calar teruk pada keseluruhan badan. Setakat ini, kami sudah menanggung kerugian bagi dua buah kenderaan yang terjejas teruk," jelasnya.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, menyarankan agar pengusaha terlibat membuat aduan rasmi melalui aplikasi Aduan Jalanraya Sabah agar tindakan segera dapat diambil.
"Saya akan meneliti perkara ini. Secara rasmi, kami belum menerima sebarang aduan berkaitan.
"Maklumat seperti lokasi pokok yang tidak diselenggara sangat penting. Aduan boleh dihantar terus melalui aplikasi yang disediakan,” katanya.