Kerah kudrat demi keluarga

Iklan
Noraini (kanan) perlu menjaga dan menyara suaminya yang mengalami strok awal tahun ini selain dua anak OKU.

SEREMBAN - Walaupun kudrat tidak sekuat ketika muda, namun Noraini Mohd Tahir, 49, menggagahkan diri bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi menyara suami sakit serta dua anak orang kurang upaya (OKU).

Ibu kepada tiga anak ini berkata, suami yang mengalami strok sepatutnya perlu mendapat penjagaan rapi, namun dia tiada pilihan lain perlu bekerja disebabkan dua anak OKU, Norrahmathul Adawiyah Raja Kamaruzaman,16 dan Raja Khaliq Rizky Raja Kamaruzaman, 12, masih bersekolah.

Iklan
Iklan

"Kadang kesian dengan suami, Raja Kamaruzaman Raja Musa, 66, yang terpaksa urus diri sendiri. Orang strok sepatutnya kena ada penjagaan rapi di rumah tapi saya tak boleh jaga dia sebab kena kerja.

"Kalau saya tak kerja siapa nak tanggung anak-anak yang masih bersekolah," katanya.

Iklan

Menurutnya, walaupun anak sulung sudah bekerja, namun tidak boleh bergantung penuh kepadanya yang mempunyai komitmen sendiri termasuk membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Dengan pendapatan RM1,900 saya gunakan sebaiknya untuk urus perbelanjaan harian, biaya anak bersekolah serta keperluan suami selain sewa rumah RM450 sebulan.

Iklan

"Kadang kala terpaksa meminjam apabila tidak cukup duit belanja, tak ada pilihan," katanya.

Tambah Noraini, dua anaknya menerima elaun OKU sebanyak RM1,800 setahun setiap seorang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, kesihatan suaminya mula merosot sejak dijangkiti Covid-19 empat tahun lalu sebelum alami strok separuh badan pada awal tahun ini.

"Suami sudah lama tidak bekerja lepas terkena jangkitan Covid-19. Sebelum itu dia ada penyakit darah tinggi, kencing manis dan jantung tapi lepas dijangkiti Covid-19 keadaannya makin teruk," katanya.

Noraini berkata, dia telah membuat permohonan kepada pusat zakat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk sokongan kewangan.

"Sebelum ini ada juga beberapa pihak tampil salur bantuan one-off. Kalau pusat zakat dapat bantu secara bulanan, saya bersyukur sangat," katanya.