[VIDEO] Tiba-tiba ramai jadi pakar, menteri gesa henti spekulasi kes kebakaran Putra Heights

Iklan

JITRA - Orang ramai diminta memberikan kepercayaan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada Selasa lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebarang spekulasi atau andaian tidak berasas di media sosial hanya akan menyukarkan proses siasatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau telah diberi taklimat terkini dari semasa ke semasa oleh pasukan PDRM yang menjalankan siasatan dan mereka sedang melengkapkan siasatan mencakupi semua perkara.

Saifuddin Nasution hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu bersama masyarakat, pada Ahad.

"Kerana itu, saya ajak masyarakat berikan kepercayaan kepada pasukan polis untuk menyelesaikan tugas mereka.

Iklan

"Masyarakat boleh membantu dengan cara tidak perlu membuat sebarang spekulasi atau andaian yang hari ini 'bersepah' di media sosial. Tiba-tiba ramai yang menjadi pakar, menganalisis sebab musabab bencana dari pelbagai sebab," katanya di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu bersama masyarakat.

Iklan

Saifuddin Nasution turut mengingatkan bahawa kebebasan bersuara perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab.

Menurutnya, ramai individu di media sosial dilihat cuba menjadi ‘pakar’ dalam menganalisis punca kejadian tanpa maklumat yang kukuh.

"Jadi sementara mereka (orang ramai) boleh berbuat demikian atas nama ruang kebebasan bersuara cuma dalam kes siasatan polis ini, berilah kepercayaan kepada polis tanpa kita terlibat untuk menimbulkan kacau ganggu," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dua agensi utama di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah diarahkan mengambil tindakan segera bagi membantu mereka yang terlibat dalam insiden tersebut.

Katanya, arahan pertama diberikan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menyediakan dokumen gantian seperti sijil lahir, kad pengenalan, sijil perkahwinan, dan lain-lain dokumen penting tanpa sebarang bayaran.

"JPN telah turun ke pusat penempatan sementara, membuka kaunter bagi memudahkan mangsa mendapatkan dokumen pengenalan diri. Ini penting kerana dokumen ini diperlukan untuk mendapatkan bantuan daripada pelbagai agensi lain,” jelas beliau.

Selain itu, katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut diarahkan untuk membantu individu yang kehilangan atau mengalami kerosakan pasport Malaysia antarabangsa akibat insiden tersebut.