BATU PAHAT – Isu banjir termenung yang sering melanda beberapa kampung di kawasan Sri Gading di sini perlu diatasi segera menerusi pemasangan pam air berkuasa tinggi bagi mempercepatkan aliran keluar air ke sungai berhampiran.
Antara kampung yang terjejas termasuk Kampung Parit Karjo, Kampung Parit Baru, Kampung Parit Kaspan, Kampung Parit Bengkok dan Kampung Parit Samion.
Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan berkata, kawasan tersebut dilanda banjir sebanyak dua kali, iaitu pada Ramadan dan dalam tempoh seminggu selepas Aidilfitri.
"Penduduk yang terjejas dibenarkan pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS) sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri, namun hanya sempat beraya selama dua hari sebelum banjir melanda semula dan mereka terpaksa kembali ke PPS.
"Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan penduduk, terutama golongan warga emas untuk menjalankan aktiviti harian, malah turut memberi kesan kepada hasil pertanian mereka,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading, pada Ahad.
Menurut beliau, banjir kali ini berpunca daripada fenomena air pasang serta hujan lebat pada sebelah petang.
"Walaupun ada pam air, namun setakat ini dimaklumkan terdapat satu sahaja dalam kawasan Parlimen Sri Gading, iaitu di Kampung Parit Kassim.
"Sekiranya terdapat empat lagi pam, air boleh disedut dan dialirkan keluar dengan lebih cepat. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu kampung-kampung yang dinaiki air agar banjir surut lebih cepat,” ujarnya.
Jelas beliau, setakat ini hanya daerah Batu Pahat yang masih mengalami banjir termenung di negeri ini, menyebabkan ratusan penduduk terpaksa berlindung di PPS.
"Masalah banjir ini berlaku hampir setiap kali hujan lebat dan air banjir surut terlalu perlahan kerana sistem saliran sedia ada tidak dapat menampung kapasiti air yang banyak.
"Saya telah mengemukakan cadangan kepada pihak berkuasa supaya pam air dipasang di beberapa lokasi kritikal bagi mempercepatkan proses pengaliran keluar air banjir,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan laporan jumlah mangsa banjir di Johor setakat jam 12 tengah hari, seramai 274 mangsa daripada 94 keluarga di Parlimen Sri Gading masih berlindung di PPS SMK Sri Gading.