SHAH ALAM - Pempengaruh politik yang mencetuskan kontroversi berhubung lagu Perak yang dinyanyikan murid sekolah dalam bahasa Cina dianggap mempunyai penyakit 'bebalisme'.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, tindakan aktivis berkenaan juga dianggap amat memalukan.
"Mengapa bebalisme? Pertama, memfitnah. Kedua, tidak tahu membezakan lagu Negaraku dan lagu negeri Perak. Ketiga, tidak punya rasa malu menyebarkan fitnah.
"Keempat, langsung tidak bertanggungjawab dengan fitnah dan kebebalan yang disebarkan. Kelima, langsung jahil tentang sejarah lagu negeri," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi tiga minit 40 saat yang memaparkan nyanyian sekumpulan murid di sebuah sekolah menyanyikan lagu negeri Perak diikuti komen seorang pempengaruh politik yang mencetuskan kontroversi.
Pempengaruh berkenaan mendakwa lagu Negaraku telah dinyanyikan dalam bahasa Cina, sekali gus dikatakan melanggar protokol lagu kebangsaan.
Susulan itu, pihak polis menerima tiga laporan berhubung penularan video mengelirukan masyarakat itu.
Dalam pada itu, Fadhlina mengingatkan masyarakat supaya mengangkat darjat serta martabat negara dengan kekuatan ilmu dan bukan melalui penyakit tersebut.
"Kita harus angkat harakat insan dengan menjadi suri teladan, bukan pempengaruh yang menunggang isu politik seperti ini. Apa yang dipaparkan adalah kejahilan akibat tiada pedoman dan hilang pertimbangan iman akibat lajak memfitnah.
"Jika ada parti politik yang masih menggunakan, menaja beliau untuk memfitnah dan melakukan kerosakan dalam masyarakat, maka rosaklah muka bumi ini dengan kerosakan yang ditaja.
"Kita harus segera mengambil tanggungjawab mengepung anak-anak kita dengan menolak pempengaruh yang sumbang dan jelik,” tegasnya.