Anak Terengganu diterima masuk Harvard azam berbakti pada negara

Iklan
Namira (dua dari kanan) ketika menyertai SEAYLP di Amerika Syarikat.

KUALA TERENGGANU -"Saya tak sangka diterima masuk ke Harvard kerana persaingan amat sengit, jadi bila dapat surat tawaran itu, saya terus peluk ibu dan menangis bersama."

Demikian luahan Namira Lee Tzu, 20, mengenai detik-detik gembira sebaik menerima tawaran menyambung pengajian ke Kolej Harvard, salah sebuah universiti berprestij di dunia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, proses permohonan ke Harvard bukanlah mudah kerana universiti itu hanya menerima kira-kira 3.5 peratus permohonan dari seluruh dunia.

"Proses permohonan ke Harvard memang mencabar kerana hanya kira-kira 3.5 peratus pemohon dari seluruh dunia yang dipilih.

Iklan
Namira merupakan penerima Biasiswa Global PNB.

"Selain keputusan peperiksaan (F3-F5, AS Level dan SAT), Harvard juga menilai penulisan karangan peribadi yang perlu mencerminkan siapa kita sebenarnya, bukan sekadar pelajar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Bekas pelajar cemerlang SMK Chung Hwa Wei Sin itu menerima Biasiswa Global daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Alam Sekitar dan Kejuruteraan di universiti berkenaan.

Iklan

"Saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ini kerana mahu menyumbang kepada penyelesaian isu-isu alam sekitar di Malaysia, seperti banjir kilat, kehilangan biodiversiti dan hakisan pantai," ujarnya.

Anak sulung daripada dua beradik yang berasal dari Terengganu itu berdarah kacukan Melayu-Cina.

Menurut Namira, kejayaan itu berkat hasil usaha gigih, sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa, serta bimbingan guru-guru yang berdedikasi.

"Ibu saya adalah penyokong terbesar saya. Dia mengajar saya asas bahasa Melayu ketika kecil dan sanggup menemani saya menaiki bas selama lapan jam untuk menghadiri temu duga bagi mendapatkan biasiswa.

"Saya cuba keluar dari zon selesa dan aktif dalam program kesukarelawan serta projek alam sekitar yang banyak membantu saya untuk melangkah ke tahap ini.

"Saya juga berpengalaman menyertai Program Kepimpinan Belia Asia Tenggara (SEAYLP) di Amerika Syarikat sebagai titik tolak keyakinan saya untuk memohon kemasukan ke Harvard,"katanya yang memperoleh keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam pada itu, Namira turut menyatakan hasrat untuk kembali berkhidmat dan menabur bakti dalam negara selepas tamat pengajian, khususnya dalam sektor pelaburan lestari.

"Saya berhasrat untuk kembali ke Malaysia dan bekerja sebagai penganalisis pelaburan di PNB.

"Saya ingin mengarahkan pelaburan ke arah projek hijau dan pendidikan luar bandar, serta menyumbang kepada pembangunan mampan negara, terutama di negeri kelahiran saya, Terengganu," katanya yang dijangka menamatkan pengajian pada 2029.