Aksi berani luar biasa pelakon filem terbaru Marvel di bangunan Merdeka 118

Iklan
Aksi berani pelakon filem terbaru Marvel di Merdeka 118 gamit peminat antarabangsa.

Iklan
Iklan

SEBUAH video klip khas di sebalik tabir pembikinan filem adiwira terbaharu Marvel, 'Thunderbolts' kini mencetuskan fenomena dan keterujaan dalam kalangan peminat selepas aksi berani salah seorang pelakonnya dirakam di bangunan pencakar langit Merdeka 118 di ibu negara, tular di media sosial.

Video berdurasi lebih satu minit itu dimuat naik di saluran YouTube rasmi Marvel Entertainment pada Jumaat, menampilkan pelakon wanita berasal dari England, Florence Pugh yang membawakan watak ejen perisik, Yelena Belova.

Iklan

Menerusi klip tersebut, Pugh dilihat bersedia untuk melakukan terjunan ‘base jump’ dari bangunan kedua tertinggi di dunia itu dengan dilengkapi tali keselamatan.

Pugh kelihatan teruja sambil berkata:"Apa-apa aksi dalam setiap bahagian filem ini memang luar biasa."

Iklan

Rakaman itu turut menunjukkan aksi seorang pelakon lagak ngeri terjun dari puncak bangunan sambil mengembangkan payung terjun, sebelum babak beralih kepada Pugh yang mendarat dengan tenang di atas bumbung bangunan lain yang berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas.

Mengulas pengalamannya, Pugh berkata, beliau berasa sangat tenang ketika melakukan aksi tersebut.

"Pelik betul rasa tenang saya. Aksi ini sangat menyeronokkan," katanya.

Klip video berkenaan menerima sambutan hangat daripada penonton, dengan lebih 500,000 tontonan dan lebih 850 komen dalam tempoh singkat.

Peminat tempatan juga tidak ketinggalan meluahkan keterujaan apabila Kuala Lumpur dan bangunan ikonik Merdeka 118 dipaparkan dalam filem berkenaan.

"Saya pelatih di Merdeka 118. Tak sabar nak tengok babak terjunan tu," tulis seorang pengguna.

Seorang lagi penonton meninggalkan komen:"Selamat datang ke Malaysia.”

"Seronok tengok mereka pilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran," kata peminat lain.

Filem Thunderbolts dijadualkan ditayangkan di pawagam seluruh dunia bermula 2 Mei ini.