Kebakaran Putra Heights: Amirudin nafi campur tangan dalam siasatan

Iklan
Amirudin pada sidang akhbar di Wisma Dewan Annexe, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada Sabtu.

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa beliau tidak campur tangan dalam siasatan berhubung insiden kebakaran di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lalu.

Menurut Amirudin, kenyataan yang dikeluarkan pada hari pertama kejadian adalah berdasarkan maklumat awal yang diterima daripada pihak polis, terutamanya mengenai kewujudan jengkaut yang dikaitkan dengan kejadian letupan gas tersebut.

Iklan
Iklan

Tegas beliau, kenyataan itu bukan untuk melindungi mana-mana pihak berhubung isu terbabit.

"Saya tidak pernah berniat untuk campur tangan dalam siasatan kerana kenyataan saya adalah berdasarkan perbincangan dan siasatan awal polis serta saya meminta siasatan dijalankan secara telus,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Wisma Dewan Annexe, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Sabtu.

Iklan

Amirudin turut menegaskan bahawa segala dakwaan yang mengaitkan beliau melindungi mana-mana pihak atau menutup aktiviti yang tidak sah adalah tidak berasas.

"Saya lihat serangan di media sosial berterusan, tetapi saya sudah jelaskan. Tugas saya sekarang adalah memastikan bantuan sampai, siasatan berjalan dengan lancar dan mangsa mendapat pembelaan,” jelas Amirudin.

Iklan

Amirudin juga memberi jaminan bahawa jawatankuasa penyiasat akan bertindak secara bebas dan telus, serta menggesa orang ramai untuk tidak membuat spekulasi sebelum siasatan selesai sepenuhnya.

"Saya hanya ingin memastikan siasatan dijalankan secara adil dan menyeluruh. Saya tidak akan campur tangan dan akan memastikan bahawa semua pihak yang terbukti bersalah akan dikenakan tindakan yang sesuai,” tambahnya.

Beliau menjelaskan bahawa barisan jawatankuasa bencana dan penyiasat akan bertindak secara profesional berdasarkan fakta yang ada.

"Saya yakin proses ini akan berjalan dengan adil dan tidak ada 'fear and favor'. Saya sudah menjelaskan sebaik mungkin dan selepas ini, saya serahkan sepenuhnya kepada pihak yang berwajib untuk menjalankan tugas mereka," ujarnya lagi.