312 urusan dokumen mangsa kebocoran gas selesai

Iklan
Muhammad Hafiz (dua dari kanan) beramah mesra dengan mangsa insiden kebocoran gas di Putra Heights yang hadir membuat urusan pendaftaran dokumen di kaunter khas JPN Selangor pada Sabtu.

SUBANG JAYA - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor berjaya menyelesaikan sebanyak 312 urusan berkaitan dokumen penting melibatkan mangsa insiden kebocoran gas di Putra Heights, di sini.

Pengarah JPN Selangor, Muhammad Hafiz Abdul Rahim berkata, urusan itu termasuk penggantian kad pengenalan, sijil lahir, sijil perkahwinan dan dokumen lain yang musnah dalam insiden berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kaunter khas itu mula beroperasi sejak Khamis lalu dan dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang sehingga Ahad.

"Operasi ini dilaksanakan bagi memudahkan urusan mangsa yang kehilangan dokumen penting akibat bencana,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini pada Sabtu.

Iklan

Muhammad Hafiz memberitahu, kebanyakan urusan yang dilaksanakan setakat jam 12 tengah hari Sabtu melibatkan permohonan semula sijil lahir dan kad pengenalan yang dilaporkan hilang atau rosak.

"Permohonan cabutan sijil lahir kami proses dan serahkan secara terus, malah ada juga mangsa yang mohon cabutan sijil anak angkat dan sijil perkahwinan dan semua ini disediakan secara percuma,” jelasnya.

Iklan

Tambah beliau, dokumen yang memerlukan proses lanjut seperti MyKid dan sijil perkahwinan akan disiapkan kemudian dan diserahkan sendiri kepada pemohon.

"Bantuan ini penting kerana ramai mangsa perlu dokumen sah untuk urusan bank, tuntutan insurans, zakat dan pendaftaran bantuan bencana,” katanya.

Beliau memberitahu, JPN turut bekerjasama dengan agensi lain seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi memastikan mangsa mendapat bantuan sewajarnya tanpa tertangguh.

Mengulas kekuatan pasukannya yang bertugas di kaunter khas, Muhammad Hafiz berkata, seramai 35 petugas digerakkan termasuk anggota dari Ibu Pejabat JPN Putrajaya.

"Kita gabungkan kekuatan antara Putrajaya yang menggunakan bas khas dan JPN Selangor menggerakkan van bergerak," tambah beliau.

Beliau menegaskan, JPN akan terus turun padang pada bila-bila masa sekiranya berlaku bencana, selaras dengan slogan jabatan itu iaitu ‘Rakyat di Hati JPN’.

"Seperti sebelum ini ketika banjir besar di Taman Sri Muda, kami tetap turun dan utamakan rakyat walaupun dalam musim cuti dan perayaan," ujar beliau.