Remaja 16 tahun maut motosikal terbabas, sepupu cedera

Iklan
Lokasi remaja berusia 16 tahun maut manakala sepupunya cedera selepas motosikal yang ditunggangi mereka terbabas dan terjatuh di Kilometer 24, Jalan Bera- Mayam, petang Jumaat. Gambar kecil: Muhammad Danish. Foto Polis Daerah Bera.

BERA - Seorang remaja berusia 16 tahun maut manakala sepupunya cedera selepas motosikal yang ditunggangi mereka terbabas dan terjatuh di Kilometer 24, Jalan Bera- Mayam, petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.25 petang itu, mangsa, Muhammad Danish Iman Suhaimi, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Mohd Zairi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan yang berumput.

Menurutnya, motosikal tersebut kemudiannya terjatuh di atas jalan menghala ke Mayam.

Iklan

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Bera untuk tujuan bedah siasat.

"Sepupu kepada mangsa yang juga pembonceng motosikal berusia 14 tahun pula cedera ringan dan kini menerima rawatan di hospital sama," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Difahamkan, mangsa dan keluarganya merancang untuk pulang ke Puchong, Selangor pada sebelah malam hari kejadian, selepas menghabiskan cuti sempena Hari Raya Aidilfitri di Bera.

Mohd Zairi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.