Trump lanjut tarikh akhir jualan TikTok

Iklan
Trump

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan lanjutan tarikh akhir bagi syarikat induk TikTok, ByteDance, untuk menyelesaikan proses penjualan aplikasi video pendek itu kepada pelabur dari Amerika Syarikat.

Perintah eksekutif baharu yang ditandatangani Trump membolehkan TikTok terus beroperasi di AS selama 75 hari lagi, sementara perbincangan diteruskan untuk memuktamadkan perjanjian tersebut.

Iklan
Iklan

Trump berkata, pentadbirannya telah berusaha keras untuk menyelamatkan TikTok dan telah mencatatkan kemajuan besar.

"Namun masih ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan bagi mendapatkan semua kelulusan yang diperlukan.

Iklan

"Oleh itu, saya menandatangani Perintah Eksekutif untuk memastikan TikTok kekal beroperasi buat sementara waktu,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Trump turut mengaitkan isu TikTok dengan tindakan terbaharunya yang mengenakan tarif sebanyak 34 peratus terhadap barangan import dari China, dan mengakui tindakan itu tidak disenangi oleh Beijing.

Iklan

"Kami berharap dapat terus bekerjasama dengan China secara jujur, walaupun saya faham mereka tidak begitu gembira dengan tarif balas ini – yang saya anggap perlu untuk mewujudkan perdagangan yang adil dan seimbang antara kedua-dua negara,” katanya lagi.

Dalam kenyataan berasingan, wakil ByteDance memaklumkan bahawa syarikat itu masih dalam perbincangan dengan kerajaan AS mengenai penyelesaian berpotensi untuk operasi TikTok di negara itu.

"Tiada perjanjian dimeterai setakat ini kerana masih terdapat beberapa perkara penting yang perlu diselesaikan. Sebarang perjanjian juga tertakluk kepada kelulusan di bawah undang-undang China,” katanya.

Ketegangan antara Amerika Syarikat dan China terus memuncak berikutan isu keselamatan data serta hubungan perdagangan yang semakin meruncing susulan pengenaan tarif baharu oleh Washington.- agensi