Niat tersirat Amerika Syarikat

Iklan
Trump cetus perang perdagangan 'membinasakan'.

PADA Khamis, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengumumkan pelaksanaan tarif timbal balik kepada 185 buah negara.

Ia dibuat kerana Trump mendakwa AS sudah lama menjadi mangsa perdagangan tidak adil yang dilakukan oleh negara lain terhadap mereka.

Iklan
Iklan

Beliau menjangkakan banyak syarikat akan kembali membuka perniagaan di AS dan bakal menyediakan peluang pekerjaan serta meningkatkan ekonomi negara Uncle Sam itu.

Mengikut Trump, langkah berkenaan kononnya akan menjadikan AS hebat dan kuat semula atau yang selalu disebut dalam kempen-kempen beliau Make Amerika Great Again (MAGA). Mungkin pada pandangan Trump, AS sudah jadi lemah tidak seperti dahulu.

Iklan

Tetapi kita semua tahu, AS adalah sebuah negara yang penuh keangkuhan dan kesombongan kerana sering campur tangan dalam banyak perkara termasuk ketenteraan dan ekonomi.

Malah dalam filem-filem yang diterbitkan negara itu juga menampakkan kehebatan AS.

Iklan

Daripada watak Rambo, James Bond, Superman, Captain Amerika dan Ironman, merekalah hero yang menyelamatkan manusia dan dunia sejagat.

Sementara watak-watak dari negara lain seperti Arab, Rusia dan China sering dijadikan penjahat serta pengganas.

Jadi naratif Trump seolah-olah AS telah jadi mangsa dan dibuli negara lain itu agak melucukan, tetapi kalau benar ia berlaku maka memang wajarlah negara lain buat pun sebab kita juga ada maruah dan harga diri.

Cubaan licik AS ugut negara lain

Satu perkara yang bermain dalam fikiran ialah, kemungkinan niat tersembunyi Trump mengenakan tarif timbal balik ini lebih kepada hendak mengugut negara lain supaya ikut telunjuk AS.

Atas sebab itulah, Trump mengatakan beliau terbuka untuk mengadakan rundingan dengan negara yang terlibat untuk mengurangkan tarif yang dikenakan.

Lebih menguatkan andaian bahawa pelaksanaan tarif hanyalah sandiwara Trump ialah apabila dia mengatakan China mungkin boleh mendapat pengurangan jika bersedia untuk melepaskan penjualan TikTok.

Bermulanya perang dagang

Sebaik sahaja pengumuman tersebut dibuat, ramai pemimpin dunia mengecam tindakan Rumah Putih.

Ada negara yang selama ini menjadi rakan baik dan sekutu kuat AS, meluahkan rasa kecewa mereka dan mahu bertindak balas namun Malaysia mengambil tindakan sebaliknya dengan berunding dengan AS.

Berbeza dengan negara lain, Malaysia bukanlah sebuah kuasa ekonomi yang besar dan ekonomi kita juga bergantung kepada perdagangan dengan AS.

Justeru, kerajaan perlu berhati-hati dalam membuat keputusan kerana kita tidak mahu rakyat kehilangan pekerjaan apabila kilang terpaksa ditutup dan pelabur cari negara lain dan ekonomi menguncup.

Biar mereka melingkup

Sementara itu, media-media di AS telah membincangkan langkah yang dibuat Trump secara meluas, malah banyak pakar-pakar berpendapat ia adalah tindakan paling bodoh dalam sejarah negara itu.

Mereka meramalkan inflasi di negara AS akan meningkat tinggi dan mengakibatkan harga barang semakin melambung, namun ia dinafikan pentadbiran Trump yang berulang kali mengatakan rancangan itu akan berjaya.

Jadi kita tunggu dan lihat apa yang akan terjadi pada hari-hari yang akan mendatang dan kalau benar seperti kata pakar-pakar ekonomi dari barat itu, maka kita biarkanlah pentadbiran Trump melingkup.

Dalam pada itu, kita juga menunggu apa yang bakal dilakukan oleh negara anggota BRICS termasuk ASEAN untuk memastikan pelaksanaan tarif itu tidak beri kesan besar dan melindungi kepentingan semua pihak yang terlibat.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian