KUALA PILAH - Lelaki yang didakwa melakukan keganasan rumah tangga hingga mendatangkan kecederaan terhadap isterinya telah ditahan polis pada Jumaat.
Dalam kejadian Selasa, suspek berusia 32 tahun itu dikatakan bertindak memukul dan menggigit mangsa di rumahnya di Taman Wira Jaya sekitar jam 3.20 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, bapa kepada seorang anak itu ditangkap di sebuah kedai serbaneka di pekan Kuala Pilah sekitar jam 12.45 tengah hari, Jumaat.
"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan / 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan seorang wanita nekad membuat laporan selepas tiga kali menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak 2022.
Dalam kejadian terbaru, suspek yang pulang ke rumah dalam keadaan mabuk telah memukul pengadu berusia 32 tahun menggunakan tangan dan menggigit pengadu di bahagian bahu, tangan dan dahi sehingga pengadu mendapat kecederaan di bahagian gigitan itu.
Muhamad Mustafah berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Tunku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk mendapat rawatan dan dirawat sebagai pesakit luar.